Nasib pencari lokan dapat pembelaan, Pok Mat kini selesa di rumah baharu

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

BESUT: Penderitaan seorang pencari lokan yang berteduh di rumah usang yang hampir menyembah bumi selama lima tahun berakhir selepas mendapat kediaman lebih selesa di Kampung Gerak Seratus, Besut.

Sambutan Aidil Adha hujung bulan ini pastinya lebih bermakna buat Muhammad Yahya, 57, atau lebih mesra disapa ‘Pok Mat’ apabila kisah hidupnya mendapat perhatian masyarakat.

Sebelum ini Pok Mat hanya tinggal di pondok usang yang tiada atap serta dinding yang dipenuhi lubang menunggu masa untuk roboh di Kampung Teluk Bayu.

Menrusi hasil mencari lokan serta bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM 200 sebulan, dia meneruskan kelangsungan hidup.

Kesusahan hidup Pok Mat mendapat perhatian pelbagai pihak, termasuk Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) yang akan membayar sewa rumahnya setiap bulan.

Menurut Pok Mat, dia bersyukur apabila impiannya untuk memiliki rumah sendiri akhirnya tercapai.

“Rumah baharu ini selesalah. Rumah lama itu hujan basah kalau ribut. Tak mahu pergi dah rumah lama,” kata Pok Mat.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Tengku Zaihan Che ku Abd Rahman berkata, pihaknya cakna dengan nasib menimpa Pok Mat.

Pelbagai usaha dilakukan bersama Maidam, badan bukan kerajaan (NGO) dan agensi lain bagi memastikan Pok Mat dan golongan miskin lain dibantu.

“Alhamdulillah, hari ini pun Pok Mat bekerjasama dengan kita dan kita nampak dia gembira di atas kecaknaan komuniti dan juga masyarakat setempat sehingga kita dapat menyediakan rumah sewa yang lebih selesa kepadanya,” kata Tengku Zaihan.

Sebelum ini kisah hidup pencari lokan yang hidup di rumah usang hanya berdindingkan kayu reput sebagai tempat berteduh ini telah dipaparkan di laman web Astro AWANI.

Setiap kali hujan pasti lena Pok Mat pasti terganggu dengan titisan air hujan yang membasahi tempat tidurnya yang serba kekurangan.

Sumber: Astro AWANI