Peralihan fasa dua PPN bukan tiket bergerak bebas

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Tumpat: Peralihan ke fasa kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang berkuat kuasa esok, bukan tiket untuk rakyat Kelantan untuk bergerak bebas.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, rakyat perlu terus patuhi prosedur operasi standard (SOP) supaya peralihan itu dapat membawa impak positif seterusnya beralih ke fasa seterusnya.

“Peralihan ke fasa kedua ini bukan tiket untuk rakyat bergerak bebas kerana perubahan tidak banyak berlaku dan kita harap dapat ke fasa ketiga secepat mungkin.

“Kita mengharapkan rakyat dapat terus patuhi SOP dan beri sokongan penuh kepada usaha yang sedang dilakukan sekarang,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau hadir menziarah penduduk di Kampung Kutan Tengah di sini sempena Program Prihatin Masyarakat Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan turut dihadiri Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah.

Kelantan adalah antara lima negeri yang mencatatkan liputan vaksin lengkap melebihi 10 peratus dan memenuhi semua nilai ambang untuk beralih ke fasa kedua PPN.

Ahmad berkata, kerajaan negeri kini sedang melakukan Program Outreach Vaksinasi Covid-19 melalui usaha ketua jajahan, Pusat Khidmat DUN dan penghulu.

Menurutnya, usaha itu akan dipergiatkan lagi sebaik bekalan vaksin seterusnya tiba pada masa yang ditetapkan nanti.

“Insya-Allah minggu hadapan bekalan vaksin seterusnya akan tiba dan kita harapkan Kelantan akan dapat ke fasa ketiga secepat mungkin,” katanya.

Sumber: My Metro