Pengusaha restoran, kafe di Kelantan di tahap nyawa-nyawa ikan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KOTA BHARU: Pengusaha restoran, kafe dan kedai makan di Kelantan merayu kerajaan benarkan pelanggan makan di premis mereka serta lanjutan waktu operasi.

Mereka sifatkan perniagaan kini nyawa-nyawa ikan, kerana operasi terhad menjejaskan pendapatan.

Mereka berharap kerajaan boleh memberi kelonggaran, namun dengan tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang tinggi.

Menurut pemilik restoran, Farah Sharina Zamari ini bagi membolehkan mereka membayar bil dan gaji pekerja yang telah tertunggak.

“Saya merayu kerajaan meluluskan pelanggan makan di premis serta lanjutkan masa operasi sehingga 10 malam.

“Sekurang-kurangnya kami akan dapat membayar bil, sewa serta gaji pekerja yang telah tertunggak. Kami sangat terkesan sehingga hari ini,”katanya.

Mereka mendakwa sebahagian besar pengusaha kedai makan terutama yang baru berjinak-jinak dengan perniagaan terpaksa gulung tikar.

Sementara bagi sebahagian pengusaha yang masih meneruskan operasi, mereka tiada pilihan lain dan terpaksa memotong gaji pekerja serta berdepan sewa kedai tertunggak.

Dianggarkan lebih 6,000 individu di Kelantan yang terlibat dalam operasi kedai makan, restoran dan kafe.

Sumber: ASTRO AWANI