SYARIKAT PERNIAGAAN DISARAN TAMPIL BANTU PPV DAN KLINIK KESIHATAN BERHAMPIRAN

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Gambar Hiasan

PEKAN : Syarikat-syarikat swasta disarankan agar tampil bersamasama membantu Kerajaaan Pahang terutamanya membantu menyumbangkan peralatan bagi kegunaan petugas di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dan klinik kesihatan.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, beliau berharap lebih banyak syarikat perniagaan dan swasta dapat tampil kehadapan membantu PPV dan klinik kesihatan berhampiran mereka dengan pelbagai cara.

“Saat ini seharusnya semua pihak hendaklah berperanan bersama-sama kerajaan dalam menangani wabak COVID-19 ini.

“Sumbangan itu nanti membuktikan syarikat perniagaan bersama-sama membantu Kerajaaan Pahang dan Kerajaan Pusat dalam memastikan kesihatan rakyat negeri ini terjamin serta dapat menerima suntikan vaksin COVID-19 dengan lebih berkesan,” katanya di sini, semalam.

Beliau sebelum itu menyampaikan sumbangan enam buah kerusi roda, enam set komputer riba, dua kipas angin, dua buah pendingin hawa mudah alih, sebuah telefon pintar, sebuah pencetak dan dua buah khemah untuk kegunaan petugas dan penduduk di PPV Giat Mara, Kampung Nenasi Pantai yang baharu dibuka dua hari lalu.

Sementara itu, beliau berkata, sumbangan ini diusahakannya dari syarikat-syarikat perniagaan yang berada di sekitar Bebar dan Pekan amnya.

“Sumbangan seperti ini amat penting dalam melancarkan urusan vaksinasi penduduk termasuk masyarakat Orang Asli disekitar Nenasi disamping dapat memudahkan gerak kerja petugas di PPV,” katanya.

“Saya ucapkan terima kasih kepada penyumbang kerana walaupun dalam situasi pandemik COVID-19 yang juga mendatangkan kesan kepada perniagaan namun mereka tetap menghulur bantuan sebagai kerja kebajikan dan sosial kepada masyarakat,” katanya.

Sumber: PAHANGMEDIA