Cubaan seludup sosej, barangan runcit dari Thailand gagal

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Rantau Panjang: Tindakan membawa pelbagai jenis sosej dan barangan runcit bernilai RM6,130 yang diseludup dari Thailand, menggunakan Perodua Viva gagal apabila dikesan anggota Batalion 7, Pasukan Gerakan Am (PGA7).

Hasil serbuan itu, anggota merampas 180 paket sosej pelbagai jenis bernilai RM5,400 dan barangan runcit berjumlah RM730 di pangkalan haram Pos Man, di sini, jam 8 malam tadi.

Pegawai Pemerintah PGA7, Superintendan Azhari Nusi, berkata ketika kejadian anggota sedang membuat rondaan bermotosikal sebelum ternampak beberapa lelaki sedang memunggah plastik putih dari perahu ke dalam kereta.

“Anggota kemudian menghampiri mereka, tetapi kesemua lelaki berkenaan bertindak melarikan diri sebelum anggota kemudian didatangi seorang lelaki yang mengaku kereta dan barangan berkenaan adalah miliknya.

“Selepas itu, anggota meminta lelaki berusia 25 tahun berkenaan mengeluarkan dokumen pengenalan diri dan seterusnya membawa dia ke Komtak Taman Bakti, di sini, untuk siasatan lanjut.

“Pemeriksaan lanjut di dalam kereta menemui kesemua barangan terbabit yang dipercayai dibawa secara haram melalui jalan yang tidak diwartakan” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Azhari berkata, kesemua barangan dan suspek dibawa ke Balai Polis Rantau Panjang untuk tindakan lanjut dan kes disasat di bawah Seksyen 4 (1) Akta Makanan 1983.

“Soal siasat ke atas suspek mengakui menggunakan kereta jenis Perodua Viva untuk mengangkut barangan supaya dapat mengaburi mata pihak berkuasa kerana sebelum ini banyak menggunakan lori atau van.

“Malah, kesemua barangan seludup berkenaan untuk pasaran tempatan,” katanya.

Sumber: My Metro