BESUT: Pemain industri pelancongan di Terengganu memohon kerajaan untuk menilai dan mempertimbangkan agar sektor itu dapat dibuka memandangkan negeri itu telah berada di Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Ia memberi nafas kepada penggiat sektor pelancongan yang semakin tenat khususnya pengusaha di pulau peranginan yang bakal berdepan dengan musim tengkujuh tidak lama lagi.
Sumber pendapatan utama mereka untuk menyara keluarga telah terputus hampir dua tahun susulan pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Jika situasi masih berterusan mampukah mereka untuk bertahan dalam industri tersebut?
Menurut pengusaha bot Mazlan Ismail, mereka mengharapkan kerajaan negeri mahupun tempatan memberi ruang kepada pengusaha pelancongan untuk berniaga semula.
“Ketika ini kami dalam keadaan tenat daripada segi ekonomi kerana terputus sumber pendapatan,”jelasnya.
Selain ketiadaan sumber pendapatan, mereka juga terhimpit dengan beban hutang akibat kos penyelengaraan dan pinjaman bank.
Justeru mereka berharap kerajaan dapat mendengar rintihan tersebut memandangkan itu sahaja sumber pendapatan utama yang dapat dilakukan.
Rata-rata penduduk di Pulau Perhentian terpaksa kembali bertani di kebun peninggalan nenek moyang mereka lebih 40 tahun lalu untuk memastikan kelangsungan hidup.
Sumber: Astro AWANI.