Kota Bharu: Polis akan melakukan siasatan dalaman susulan penahanan dua pegawai kanannya yang meminta suapan sebanyak RM200,000 daripada pasangan pengedar dadah.
Timbalan Ketua Polis Kelantan Senior Asisten Komisioner Abdullah Muhammad Piah berkata, siasatan dilakukan selari dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Katanya, polis juga akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada SPRM untuk membantu proses siasatan sehingga selesai.
“Terpulang kepada SPRM untuk mengambil tindakan selanjutnya. Setakat ini, untuk mengambil tindakan tata tertib, kita kena tunggu siasatan SPRM dulu.
“Tindakan juga akan diambil apabila individu terbabit dituduh di mahkamah, buat masa ini kita akan tahan kerja dulu. Apabila sudah jatuh hukum, baru kita akan gantung kerja dan penamatan perkhidmatan,” katanya ketika ditemui selepas membuat tinjauan di kawasan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Taman Kurnia Jaya dan Taman Pinggiran Golf di Pengkalan Chepa di sini, hari ini.
Pelaksanaan PKPD dua taman itu bermula Jumaat sehingga 22 Julai ini.
Media sebelum ini melaporkan seorang pegawai kanan berpangkat Deputi Superintendan direman lima hari bermula semalam, bagi membantu siasatan membabitkan satu kes rasuah.
Ia susulan penahanan seorang pegawai polis berpangkat Asisten Superintendan oleh SPRM kelmarin bagi membantu siasatan dakwaan meminta suapan sebanyak RM200,000 daripada pasangan pengedar dadah.
Abdullah berkata, polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai atau anggota yang melakukan kesalahan rasuah.
Beliau menyeru semua warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya mengelak perbuatan rasuah dan sentiasa membuat peringatan kepada pegawai serta anggota polis supaya mengelakkan rasuah.
“Rasuah akan merosakkan polis dan menyebabkan hilang kepercayaan rakyat kepada PDRM,” katanya.
Sumber: My Metro