Dua beradik usia lebih satu abad teruja dapat vaksin

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Machang: Hasrat dua beradik warga emas berusia lebih satu abad untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 tercapai apabila mereka menerima suntikan dos pertama di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat, Pulai Chondong, di sini, hari ini.

Dua beradik berkenaan, Munah Yunus, 114, dan adiknya Pah Yunus, 111, yang berasal dari Kampung Rengas, Labok ditemani oleh anak mereka tiba di PPV sekitar jam 9.30 pagi.

Kedua-dua beradik itu melahirkan rasa syukur selepas nama mereka berdua terpilih pada hari yang sama untuk mendapatkan suntikan vaksin yang disediakan melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Menurut Siti Mariam Taib, 64, ibunya, Munah begitu teruja untuk mendapatkan suntikan vaksin kerana bimbang dengan keadaan Covid-19 pada ketika ini selain antara golongan warga emas yang berisiko.

“Pada masa sama, ibu juga bersemangat kerana dia dan adiknya sudah berjanji untuk menerima vaksin bersama-sama dan tidak menyangka hasrat mereka dipenuhi selepas dimaklumkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Chondong.

“Ibu dan adiknya akrab sejak kecil memandangkan tidak mempunyai adik beradik yang lain. Alhamdulillah proses menerima suntikan vaksin ini berjalan dengan baik bermula daripada pendaftaran sehinggalah petugas kesihatan datang ke kereta untuk memberi suntikan kepada mereka berdua yang sudah uzur,” katanya.

Dia berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di PPV Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat, Pulai Chondong. Hadir sama,ADUN Pulai Chondong, Azhar Salleh.

Siti Mariam berkata, sejak 10 tahun lalu ibunya hanya mampu berengsot selepas terjatuh, namun tidak menghidap sebarang penyakit kronik kecuali sakit tua dan juga masalah pendengaran.

“Sejak dari usia muda, ibu sentiasa mengamalkan pemakanan sihat dan dalam masa sama kehidupan hariannya turut dihiasi dengan alunan zikir selain mengamalkan solat sunat tahajud di awal pagi.

“Saya bersyukur kerana ibu masih dikurniakan kesihatan yang baik dan dalam usianya yang sudah lebih satu abad mampu melihat 15 cucu serta 35 cicit membesar di depan mata,” katanya.

PAH Yunus tenang menerima suntikan vaksin. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI
PAH Yunus tenang menerima suntikan vaksin. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI

Sementara itu, anak kepada Pah, Mohd Ramli Ismail, 63, berkata, ibunya sudah lama menunggu untuk mendapatkan suntikan vaksin dan lebih bersemangat apabila diberitahu kakaknya juga disuntik pada hari yang sama.

“Pada pagi tadi, dia bangun awal untuk bersiap dan menunggu kami menghantarnya ke PPV bagi menerima suntikan dan ibu juga berpuasa kerana sudah menjadi amalannya sejak di usia muda untuk berpuasa sunat selain dari bulan Ramadan.

“Alhamdulillah, setelah hampir 10 minit dipantau oleh petugas kesihatan selepas disuntik, ibu tidak mengalami sebarang masalah dan dibenarkan pulang,” katanya.

Sementara itu, Azhar berkata, pemberian vaksin di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulai Chondong diadakan selama dua hari bermula hari ini dan juga esok dengan jumlah penerima seramai 640 orang.

“Pada hari ini, seramai 320 penerima menerima suntikan terdiri daripada warga emas, imam dan petugas-petugas masjid serta guru Yayasan Islam Kelantan (YIK), manakala selebihnya akan menerima suntikan esok.

“Sehingga kini, sudah 25 peratus penduduk di Pulai Chondong mendapat suntikan vaksin dan saya berharap dengan adanya PICK ia dapat mempercepatkan proses vaksinasi kepada penduduk di sekitar DUN Pulai Chondong,” katanya.

Sumber: My Metro dan Berita Harian