SPRM reman dua lelaki bantu siasatan rasuah RM10,000

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Temerloh: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang memperoleh perintah reman lima hari mulai hari ini, terhadap dua kakitangan Felda bagi membantu siasatan menerima rasuah berjumlah RM10,000 berkaitan kecurian buah sawit di sebuah tanah rancangan di Bera.

Perintah reman terhadap kedua-dua lelaki berusia 31 dan 34 tahun itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Temerloh Hayatul Hafifie Hisham.

Mereka disyaki menerima rasuah terbabit daripada kontraktor untuk tidak mengambil tindakan terhadap kegiatan kecurian buah sawit berkenaan.

Pengarah SPRM Pahang Hairuzam Mohmad Amin@Hamim mengesahkan kedua-duanya ditahan pada 3 petang semalam di pejabat SPRM negeri selepas hadir memberi keterangan.

Siasatan ke atas mereka dijalankan mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Sumber: My Metro