Kota Bharu: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan mengesan pemandu lori melakukan kesalahan membawa muatan berbahaya dan lebih semata-mata untuk mengejar perjalanan.
Pengarah JPJ Kelantan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, ia antara kesalahan yang dikenal pasti dilakukan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Katanya, pihaknya mendapati sebanyak 3,814 kesalahan membawa muatan berbahaya dan lebih dalam tempoh Januari sehingga Jun lalu berbanding 1,470 kes dalam tempoh yang sama tahun lalu.
“Kita mendapati ia (jumlah kes) meningkat sebanyak 159 peratus berbanding tahun lalu. Peningkatan ini disebabkan pemandu lori yang tidak takut apabila membawa muatan lebih atau berbahaya untuk mengejar perjalanan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Program Insaniah JPJ Kelantan di Kampung Chica Menyabong, di sini, hari ini.
Katanya, tindakan diambil mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.
“JPJ meningkatkan penguatkuasaan bagi memastikan semua pengguna patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan ketika pandemik Covid-19.
“Kita juga memberi advokasi kepada pengguna jalan raya supaya patuh kepada SOP dan tidak melanggar peraturan jalan raya,” katanya.
Sumber: My Metro