Ganja RM1.2 juta dalam SUV terbabas

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Tumpat: Polis Kelantan merampas 494 kilogram (kg) ganja bernilai RM1.2 juta daripada sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang terbabas ke dalam tali air di Kampung Lambor, Wakaf Bharu di sini, kelmarin.

Dalam kejadian 9.50 malam, SUV itu yang dipandu seorang lelaki terbabas selepas mengelak daripada ditahan sepasukan anggota polis yang menjalankan rondaan di kawasan berhampiran

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Mohamad Piah berkata, anggota terpaksa mengejar kenderaan itu sejauh lima kilometer (km) selepas mengesannya dalam keadaan mencurigakan di Jalan Kampung Pasir Puteh, Chabang Empat.

“Anggota menggunakan pembesar suara dan mengarahkan pemandu agar berhenti, namun dia terus memecut laju dan ketika dikejar, kenderaan suspek hilang kawalan serta terbabas ke dalam tali air.

“Suspek dilihat keluar daripada SUV itu, naik ke tebing dan menahan penunggang motosikal yang kebetulan melalui lokasi serta terus membonceng.

“Bagaimanapun penunggang motosikal itu berjaya diberkas, tetapi suspek sempat melarikan diri menuju ke belukar berhampiran,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat di sini hari ini.

ABDULLAH (tengah) bersama pegawainya menunjukkan sebahagian daripada 494kg ganja mampat bernilai RM1.2 juta yang dirampas, di Wakaf Bharu, Tumpat, kelmarin. FOTO Siti Rohana Idris.
ABDULLAH (tengah) bersama pegawainya menunjukkan sebahagian daripada 494kg ganja mampat bernilai RM1.2 juta yang dirampas, di Wakaf Bharu, Tumpat, kelmarin. FOTO Siti Rohana Idris.

Abdullah berkata, pemeriksaan dalam kenderaan itu menemui 12 bungkusan plastik hitam yang mengandungi 494 bungkusan kertas berisi ketulan mampat disyaki ganja seberat 1kg setiap satu.

“Setiap bungkusan sekg dadah dianggarkan RM2,500 dan ia dipercayai dibawa masuk dari negara jiran untuk pasaran Lembah Klang. Jika terlepas, dadah ini boleh digunakan 988,000 penagih,” katanya.

Beliau juga percaya, suspek yang melarikan diri adalah ‘pengangkut’ dan usaha mengesannya sedang giat dijalankan, manakala penunggang motosikal berusia 25 tahun yang diberkas, direman sejak semalam sehingga 23 Julai ini.

Sebelum ini, polis turut menyerbu dua kediaman di Padang Tembak dan Binjai di Kota Bharu berdasarkan semakan ke atas nombor pendaftaran SUV itu, namun kedua-duanya sudah dikosongkan.

“Kita sedang menyiasat sama ada penunggang motosikal itu ada kaitan atau tidak dengan kes ini. Semakan dibuat mendapati dia tiada rekod kesalahan lampau dan ujian air kencing adalah negatif.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.

Sumber: My Metro