Kuantan: Pusat Perubatan Sultan Ahmad Shah@IIUM (SASMEC @IIUM) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menerima lebih 80 peratus warga emas pada hari pertama sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Institut Pengajian Tinggi (IPT) di Dewan Utama UIAM kampus Kuantan, di sini.
Ketua Penyelarasnya, Prof Madya Dr Razman Mohd Rus berkata, warga emas paling tua mendapatkan vaksin Covid-19 berusia 97 tahun yang datang ditemani ahli keluarga.
Menurutnya, ramai dalam kalangan warga emas yang mengalami masalah kesihatan termasuk tidak dapat berjalan dan mereka menggunakan kerusi roda untuk ke dewan pemberian vaksin.
“Untuk membantu melancarkan proses pemberian vaksin, kami menyediakan 40 kerusi roda untuk digunakan warga emas yang mengalami masalah untuk berjalan.
“Kami turut menyediakan dua unit buggy bagi mengambil dan menghantar warga emas ke kawasan meletakkan kenderaan,” katanya.
Sumber: My Metro