Kuantan: Seramai 611 individu mendapatkan khidmat kaunseling secara berkelompok dan komuniti di Pahang bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini.
Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang, Zulkhairi Zainol Abidin berkata, pihaknya turut mengadakan 543 ujian psikologi termasuk 101 kali bengkel interaktif yang berkaitan dengan perintah Akta Kanak-Kanak 2001.
“Kita berusaha sedaya upaya membantu individu terbabit untuk terus menjalani kehidupan yang lebih bermakna, produktif dan mencapai kesejahteraan psikologi yang optimum.
“Tidak dinafikan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan ramai yang menghadapi tekanan hingga sanggup melakukan tindakan yang tidak normal,” katanya di sini, semalam.
Dalam pada itu, Zulkhairi berkata, pihaknya turut menerima aduan mengenai masalah kewangan dihadapi penduduk selepas kehilangan kerja, malah ia aduan paling banyak diterima sepanjang tempoh pandemik Covid-19.
Katanya, pihaknya prihatin dan sentiasa bersedia membantu memberi bantuan kewangan dan keperluan asas, termasuk menerusi kerjasama dengan Sekretariat Majlis Kebajikan Masyarakat Negeri Pahang (Makpen) untuk kelancaran agihan.
Tahun lalu, JKM Pahang melaksana 767 perkhidmatan kaunseling kepada golongan memerlukan berkait pelbagai isu dan 968 ujian psikologi serta 143 bengkel interaktif.
Sumber: My Metro