Maut motosikal bertembung

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kota Bharu: Pelajar lelaki berusia 15 tahun maut manakala seorang lagi parah dalam kemalangan membabitkan dua motosikal di Kampung Chicha Menyabong di sini.

Dalam kejadian jam 12.40 tengah malam itu, mangsa, Muhammad Adam Azman maut akibat cedera parah di kepala manakala Muhammad Hamzi Akmal, 18, mengalami cedera parah.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, kemalangan berlaku ketika Muhammad Adam yang menunggang Honda C100B dari arah Kampung Pulau Belanga ke Wakaf Zin terbabas serta masuk ke laluan bertentangan.

Katanya, akibatnya mangsa bertembung dengan Yamaha LC 135 yang ditunggang Muhammad Hamzi yang dalam perjalanan pulang selepas selesai bekerja.

“Akibat perlanggaran itu, kedua-dua mangsa jatuh dan seorang daripadanya meninggal dunia yang disahkan oleh Pembantu Perubatan Klinik Kesihatan Kota Jembal.

“Muhammad Hamzi yang beralamat di Kampung Panchor Kemumin mengalami cedera parah di kepala dan dikejarkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi di sini.

Beliau berkata, keterangan daripada saksi bebas yang juga penduduk kampung yang kebetulan berada di tempat kemalangan juga diperolehi.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sumber: My Metro