Jerantut: Pengusaha inap desa dan chalet secara kecil-kecilan di Taman Negara, Kuala Tahan. dekat sini, semakin tenat sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan ketiadaan pengunjung sejak tahun lalu.
Kira-kira 30 pengusaha inap desa dan chalet di pesisir Sungai Tembeling di Kampung Kuala Tahan, Kampung Pagi dan Kampung Kuala Sat yang beroperasi di situ sejak 20 tahun lalu bakal gulung tikar sekiranya situasi itu berlanjutan.
Mana tidaknya, bilik penginapan yang menawarkan kadar sewa antara RM30 hingga RM170 sehari diusahakan mereka terus sepi tanpa pengunjung, malah sebilangan pengusaha di situ beralih kepada pekerjaan lain untuk kelangsungan hidup.
Pengusaha Tahan Guest House, Norhasiyati Taharin berkata, pusat inap desa miliknya boleh dikatakan ‘mati’ sejak penularan wabak Covid-19 ditambah pula penguatkuasaan PKP menyebabkan ketiadaan pengunjung ke Taman Negara.
“Sebelum 2019, purata 1,000 pelawat menginap di inap desa saya itu dalam tempoh sebulan dan sejak Januari hingga 17 Mac lalu, cuma 200 orang singgah di situ. Selepas itu tiada lagi pengunjung bermalam di sini.
“Sejak penguatkuasaan PKP, kami mulai mengalami tekanan kewangan untuk membayar pinjaman, sewa tapak, cukai taksiran pihak berkuasa tempatan dan terpaksa mengurangkan kos pengurusan lain,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Pemilik Tebing Guest House, Mohd Abdul Rani Harun pula berkata, selagi penularan Covid-19 belum pulih dan penutupan sempadan antarabangsa termasuk rentas daerah, inap desa dan ekopelancongan di Kuala Tahan akan terus mati.
“Pengusaha di sini sudah tidak mampu lagi berfikir sambil berharap kerajaan mencari mekanisme membantu kami yang kehilangan pendapatan, terutama pengurangan beberapa cukai tertentu sehingga ini tertunggak sejak PKP dilaksanakan,” katanya.
Mohd Abdul Rani yang juga Timbalan Pengerusi Persatuan Pengusaha Pelancongan Taman Negara Kuala Tahan berkata, sumber pendapatan mereka hanya mengharapkan kehadiran pelancong ke Taman Negara dan akibat PKP, sebilangan pengusaha sudah gulung tikar dan mencongak peluang di tempat lain.
Sementara itu, pengusaha pelancongan Kampung Kuala Sat, Alias Hashim berkata, sehingga kini tiada seorang pun pengunjung yang datang melawat ke pusat peranginan Kuala Sat yang terletak di pesisir Sungai Tembeling selepas Taman Negara.
Nasib sama turut dialami pengusaha rumah rakit De’Tempan di Kampung Pagi, Adenan Nipah kerana ketiadaan pengunjung yang singgah di situ.
Sumber: My Metro