487 pelatih OKU sudah terima vaksinasi

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Pelatih PPDK Tunas Sri Teruntum, Mohd Shahril Alias menerima suntikan vaksin COVID-19 pada program vaksinasi khas golongan istimewa.
FOTO: Berita Harian

KUANTAN: Seramai 487 pelatih orang kurang upaya (OKU) di 11 Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) di negeri ini telah menerima vaksinasi COVID-19 yang diberikan secara berperingkat.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang, Zulkhairi Zainol Abidin, berkata di negeri ini terdapat kira-kira 696 pelatih OKU yang mengikuti pelbagai latihan kemahiran di PPDK.

Katanya, kini terdapat hanya 117 membabitkan 61 lelaki dan 56 perempuan yang masih belum menerima vaksinasi disediakan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Katanya, seramai 92 pelatih membabitkan masing-masing 46 lelaki dan perempuan mengambil keputusan tidak mahu menerima vaksinasi yang ditawarkan.

“Secara keseluruhan, sebanyak 70 peratus pelatih OKU yang mendapatkan kemahiran di 11 PPDK telah menerima vaksin yang disediakan secara berperingkat oleh KKM di setiap daerah.

“Bagi PPDK yang mempunyai pelatih yang ramai pegawai perubatan KKM berkunjung ke PPDK terbabit untuk memberi vaksinasi,”katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, PPDK daerah ini teramai mendapat vaksinasi membabitkan seramai 118 pelatih diikuti PPDK Raub (73), PPDK Rompin (62), PPDK Bentong (57) dan PPDK Bera (49).

Zulkhairi berkata, selain golongan OKU yang diberi keutamaan bagi mendapatkan vaksinasi COVID-19, turut mendapat perhatian ialah warga emas, gelandangan dan rentan.

Sumber: Berita Harian