Lebih 500,000 dos vaksin diberikan 3 hari berturut-turut

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Putrajaya: Jumlah pemberian vaksin di negara ini melebihi 500,000 dos selama tiga hari berturut-turut dengan sebanyak 552,701 dos diberikan semalam.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, daripada jumlah itu, 353,771 bagi dos pertama, manakala 198,930 lagi adalah dos kedua.

Dengan pertambahan dos pertama dan kedua semalam, ia menjadikan jumlah keseluruhan pemberian vaksin di negara ini adalah sebanyak 18,946,048 dos.

Menurut jadual yang disertakan itu, lebih 200,000 dos pertama dan kedua diterima oleh Lembah Klang dengan jumlah 239,874 dos.

Daripada jumlah itu, 156,757 meliputi dos pertama, manakala 83,117 bagi dos kedua.

Ia menjadikan 85.5 peratus penduduk dewasa di Lembah Klang sudah menerima suntikan pertama dan 31.1 peratus lagi lengkap dos kedua.

Pemberian vaksinasi di Lembah Klang meliputi Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor.

Selain Lembah Klang, beberapa negeri lagi turut mendapat dos pertama tertinggi iaitu Johor (36,493), Sabah (31,991), Pulau Pinang (23,457) dan Pahang (18,950).

Bagi dos kedua, selain Lembah Klang, Sarawak turut mendapat suntikan tertinggi dengan 29,096 dos, Perak (19,670), Negeri Sembilan (15,380) dan Kedah (10,761).

Sumber: My Metro