Dakwa dikompaun sebaik keluar kereta

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Gambar Hiasan

Pasir Puteh: Seorang aktivis meluahkan rasa kecewa apabila mendakwa dikompaun sebanyak RM1,500 sebaik saja keluar dari kereta untuk ke kedai runcit.

Mohd Nizam Che Mohamad Ali, 57, dikenakan kompaun oleh polis jam 6.20 petang semalam, di Kampung Panggong, dekat sini, atas kesalahan berkumpul ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tanpa diberi ruang untuk penjelasan.

“Saya baru turun kereta dan berjalan ke kedai runcit. Ketika itu sekumpulan anggota polis datang terus minta kad pengenalan dan mengambil tindakan kompaun terhadap saya.

“Ketika kejadian terdapat beberapa individu berada di sebuah wakaf berhampiran lokasi dan saya menuju ke kedai runcit yang terletak di depan wakaf berkenaan.

“Saya ke ke situ sebab berjanji dengan seorang penduduk yang mahu menyerahkan borang permohonan bantuan. Disebabkan penduduk itu belum tiba, saya berjalan ke kedai runcit untuk membeli barangan keperluan sebelum didatangi anggota polis dan dikenakan kompaun,” katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, Mohd Nizam memuat naik hantaran di Facebook menyatakan rasa terkilannya susulan kejadian itu.

Mengulas lanjut, Mohd Nizam berkata, dia cuba memberi penjelasan kepada anggota polis tetapi tidak diendahkan sama sekali.

“Kompaun dikeluarkan tanpa mendapatkan penjelasan. Saya sudah jelaskan dengan baik sebab saya tidak lakukan apa-apa kesalahan.

“Jadi saya tidak akan membayar kompaun RM1,500 yang dikenakan ini,” katanya yang juga aktivis pertubuhan Bantu Cakna Rakyat Pasir Puteh.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Mohd Azmir Damiri ketika dihubungi dihubungi mengesahkan mengeluarkan kompaun terhadap lelaki berkenaan.

Pada masa sama, beliau menafikan dakwaan lelaki berkenaan kerana anggotanya sudah membuat pemerhatian sebelum tindakan diambil.

“Anggota bertugas sudah pusing dua kali di lokasi berkenaan untuk memerhati aktiviti sekumpulan individu di lokasi. Mereka berkumpul dan sedang makan durian.

“Terserahlah kalau tak puas hati dia boleh lawan di mahkamah,” katanya.

Sumber: My Metro