Kefahaman umat Islam terhadap ilmu akidah sangat penting sebagai benteng yang mengelak mereka daripada terdedah dengan aliran pemikiran baharu yang menyesatkan.
Menurut pendakwah bebas, Muhadir Joll berkata kehadiran pelbagai aliran pemikiran baharu yang bersifat songsang seperti tidak mempercayai adanya Tuhan, meragui kewujudan Allah SWT dan Rasul dibimbangi akan meracuni masyarakat Islam.
Jelasnya, masyarakat harus belajar ilmu akidah yang bukan sahaja untuk difahami malahan ia perlu diamalkan mengikut kaedah jumhur ulama bagi mengenal Allah SWT melalui ilmu sifat 20 yang dibahaskan oleh ulama secara terperinci.
“Jikalau kita salah memahami, takut akidah kita terpesong maka amalan yang dilaksanakan akan ditolak oleh Allah SWT. Oleh itu, bagi memastikan umat Islam dapat mengenal Allah SWT dengan caranya ialah mengembalikan pengajaran sifat 20,” katanya.
Justeru itu, beliau juga turut berkata bahawa ada juga yang menolak ilmu sifat 20 yang diperkenalkan oleh ulama tersohor iaitu Syeikh Abu al-Hassan al-Asy’ari sejak kurun keempat sedangkan ia sudah lama diaplikasikan dalam pengajaran akidah dan diterima dalam kalangan jumhur ulama yang mengarang dan membahaskannya.
Ini juga adalah kaedah ulama bagi membantu masyarakat Islam mengenal Allah SWT seperti mana ilmu akidah yang ada di dalam Al-Quran dan Hadis. Penjelasan lanjut oleh ulama juga bertujuan untuk mengelakkan salah faham yang menyimpang daripada landasan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Muhadir Joll juga turut memberi contoh menyamakan Allah SWT dengan ciri makhluk termasuk mengatakan Allah SWT berada di atas arasy, sedangkan bersemayam dan terdiri daripada roh kerana sifat berkenaan hanya untuk makhluk seperti manusia.
Jelasnya, pihak yang mengatakan demikian sebenarnya sudah terpesong dan tindakan itu mengundang dosa yang mewajibkan mereka bertaubat segera.