Pahang lantik 11 katerer untuk PKRC, pusat kuarantin

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuantan: Kerajaan Negeri Pahang melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang melantik 11 katerer untuk menyediakan makanan di empat Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) dan enam pusat kuarantin di negeri ini.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang, Zulkhairi Zainol Abidin berkata, kemudahan sama turut disediakan di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) untuk keselesaan petugas.

Menurutnya, setiap katerer perlu menyediakan makanan tiga kali sehari iaitu sarapan pagi, makan tengah hari dan malam membabitkan menu berbeza.

Penentuan jenis makanan atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Katanya, dua pegawai JKM ditempatkan di setiap PKRC dan pusat kuarantin termasuk PKOB yang bertanggungjawab memantau proses agihan makanan mengikut waktu ditetapkan selain menu makanan disediakan.

“Kita sentiasa berusaha untuk memastikan makanan yang disediakan setiap katerer dapat memenuhi selera semua pihak tanpa mengira bangsa. Yang penting sekali mendapat dibenaran daripada KKM.

“Untuk memberi lebih keselesaan kepada mereka yang berada di PKRC dan pusat kuarantin minum petang dan malam turut disediakan,” katanya selepas meninjau agihan makanan di pusat kuarantin Kolej Universiti Islam Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS), di sini, semalam.

Beliau menambah, pemeriksaan secara berkala dan mengejut sering dilaksanakan bersama wakil beberapa agensi untuk menilai prestasi semasa setiap pengusaha katerer.

Penyelarasan bersama pihak katerer juga diadakan bagi menilai semula pelbagai perkara dalam memastikan tidak sebarang masalah membabitkan makanan disediakan.

“Kita tidak beragak-agak menamatkan kontrak pengusaha katerer yang didapati cuai serta tidak mematuhi syarat ditetapkan dalam apa juga perkara termasuk waktu agihan makanan.

“Kebajikan mereka yang menjalani kuarantin dan sedang dirawat perlu sentiasa diberi keutamaan, mereka akan tertekan sekiranya tidak menerima layanan terbaik,” katanya.

Sumber: My Metro