Tumpat: Sidang khas Dewan Rakyat di Parlimen dilihat tidak dimanfaatkan sepenuhnya Ahli Parlimen termasuk untuk menyelesaikan isu semasa berkaitan pandemik Covid-19.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, sebaliknya ia menjadi platform untuk mempromosi agenda peribadi sedangkan mereka sepatutnya membincangkan isu kesihatan yang dihadapi kini.
“Sepatutnya lima hari ini (sidang khas) ambil peluang bersama untuk memberi pandangan bagaimana cara untuk menyelesaikan (Covid-19) sebab kerajaan perlu kepada pandangan daripada wakil rakyat.
“Rasa kesal apabila wakil rakyat pembangkang tidak ambil kesempatan dengan masa yang berharga itu untuk berbincang cara untuk menangani masalah Covid-19.
“Kalau mereka (wakil pembangkang) gagal untuk memberi maklumat di tempat masing-masing maka kita rasakan kerajaan kita yang berjaya walau dari segi bilangan kumulatifnya (jangkitan) masih satu juta, tapi yang sembuh sudah lebih daripada 800,000 orang,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sijil kecemerlangan dan saguhati kepada 122 pelajar cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), di sini, hari ini.
Ahmad berkata, semua pihak berkaitan sepatutnya menyalurkan pandangan sekali gus membolehkan kerajaan mengambil tindakan cepat agar situasi murung dan tertekan dialami rakyat dapat diatasi.
Menurutnya, pihaknya mengharapkan perubahan lebih baik akan berlaku bagi membolehkan semua negeri dapat beralih ke fasa seterusnya dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).
“Harap selepas ini kerajaan akan ambil tindakan lebih cepat supaya tiada rasa murung serta tertekan oleh rakyat dan mungkin ada langkah kerajaan yang boleh diambil bagi memperluaskan lagi pembabitan rakyat untuk ke fasa seterusnya,” katanya.
Sumber: My Metro