Sikap membisu tidak membantu – BN Pahang

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuantan: Barisan Nasional (BN) Pahang menjunjung titah atas penzahiran perasaan amat dukacita Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkaitan pembatalan Ordinan Darurat.

Pengerusi BN Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sehubungan itu BN Pahang menuntut supaya Kerajaan Pusat mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas kekhilafan yang sangat nyata ini.

“Sikap membisu sehingga kini, tidaklah sekali-kali membantu.

“Umpama ‘sudah terang lagi bersuluh’, tiada pilihan yang ada kepadanya kecuali permohonan keampunan ke sisi Seri Paduka Baginda serta tindak balas sewajarnya yang perlu diambil oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta menteri yang bertanggungjawab mengenainya,” katanya dalam kenyataan.

Wan Rosdy berkata, BN Pahang ditunjangi Umno juga berasa teramat sedih dan sangat kesal dengan kejadian ini yang bukan sahaja membelakangi kuasa Seri Paduka Baginda selaku Ketua Utama Negara, malah prinsip kedaulatan undang-undang sekali pun.

“Bak kata pepatah, ‘terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya’.

“Dalam hal ini, yang terlajak bukan setakat tutur kata malah dalam tindakan sehingga mengelirukan rakyat jelata,” katanya.

Sumber: My Metro