New York: Samantha Ramsdell yang popular di TikTok berikutan bukaan mulut yang sangat luas, kini secara rasminya dinobat wanita mulut paling besar di dunia oleh Guinness World Records.
Dia sebelum ini mengagumkan 1.7 juta pengikut menerusi perkongsian video memuatkan sejumlah besar makanan ke dalam mulut, termasuk keseluruhan kentang goreng McDonald’s.
Berasal dari Connecticut, wanita berusia 31 tahun itu menerima pengiktirafan berkenaan pada 28 Julai lalu selepas ujian ukuran yang dibuat di sebuah klinik di South Norwalk, Connecticut mengesahkan bukaan mulutnya seluas 6.52 sentimeter.
“Berusia 31 tahun dan memperoleh rekod ini untuk sesuatu yang selama ini buat saya rasa tidak yakin dan pernah mahu menjadikan ia kecil, adalah sangat hebat.
“Ia kini menjadi satu daripada perkara terbaik mengenai saya,” katanya yang bekerja sebagai wakil jualan peralatan perubatan.
Samantha turut menyokong mereka yang mempunyai anggota badan unik untuk mencatat rekod dalam Guinness World Records.
“Lakukan dengan penuh dan jadikan ia aset paling besar anda. Ia adalah kuasa anda, yang menjadikan anda istimewa dan berbeza daripada orang lain di sekeliling,” katanya seperti dilapor Mirror.
Menurut wanita itu, dia membuka akaun media sosialnya untuk berkongsi kebolehan nyanyiannya tanpa sedar bahawa bentuk mukanya yang lebih menarik perhatian orang ramai.
Sebelum ini katanya, dia mula mengumpul keyakinan sejak dua tahun lalu apabila mengambil kelas nyanyian serta berkongsi mengenainya di Instagram.
“Kemudian saya jatuh cinta dengan komedi dan parodi serta mula banyak berkongsi mengenai itu sebelum membuka akaun TikTok pada 2019 tetapi tidak begitu aktif sehingga tempoh pandemik pada April 2020.
“Sejak itu saya berkongsi banyak video kelakar dan parodi tetapi setiap kali berkongsi sesuatu yang menunjukkan mulut saya, ia menjadi sangat tular,” katanya.
Sumber: My Metro