KKM jalankan ujian klinikal Ivermectin terhadap 500 pesakit

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menjalankan ujian klinikal ke atas 500 pesakit untuk menilai keberkesanan penggunaan Ivermectin.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, objektif utamanya adalah untuk melihat sama ada ubat terbabit dapat merawat secara efektif pesakit yang berada pada tahap awal Covid-19 dan mencegah daripada beralih ke kategori empat atau lima.

Menurutnya, ujian klinikal membabitkan pesakit Covid-19 berusia 50 tahun ke atas dengan sekurang-kurangnya satu komorbiditi dan dimasukkan ke hospital dengan gejala ringan pada minggu pertama penyakit mereka di mana pesakit akan dibahagi secara rawak kepada dua kumpulan.

“Kita juga akan melihat perbezaan dari segi jumlah kematian, pengudaraan mekanikal, jumlah berapa pesakit yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan kesan di sebalik penggunaannya.

“Satu kumpulan akan menerima Ivermectin oral dengan dos 0.4 miligram (mg)/kilogram) (berdasarkan berat badan) setiap hari selama lima hari berturut-turut sementara kumpulan yang lain hanya akan mendapat rawatan biasa tanpa ubat terbabit,” katanya kepada Harian Metro.

Dr Noor Hisham berkata, setakat ini 200 pesakit sudah sudah menjalani ujian klinikal terbabit dan menjangkakan 500 pesakit akan dicapai sehingga September ini.

“Adalah penting untuk tahu bahawa dos Ivermectin yang digunakan dalam ujian klinikal ini lebih tinggi dari dos dibenarkan untuk jangkitan parasit.

“Subjek kajian dipantau rapi oleh doktor berpengalaman sekiranya berlaku apa-apa dalam tempoh kajian klinikal terbabit,” katanya.

Beliau berkata, kajian itu didaftarkan di clinicaltrials.gov dan pada sesiapa yang berminat boleh melihat dengan jelas mengenai protokol kajian bagi memastikan kajian telus dan untuk elakkan sebarang prejudis pada masa akan datang.

“Keberkesanan ubat ini di dalam proses rawatan Covid-19 mesti berdasarkan bukti saintifik dan bukan pandangan peribadi dan sentimen orang awam,” katanya.

Selain daripada doktor dari jabatan penyakit berjangkit, seramai 140 orang terbabit dalam ujian klinikal ini terdiri daripada pakar perubatan, pegawai perubatan, ahli farmasi dan pegawai penyelidikan dari Pusat Kajian Klinikal (CRC) dari 18 hospital kerajaan.

Sumber: My Metro