Kuala Berang: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bercadang menyenaraikan kit ujian kendiri Covid-19 sebagai barangan harga terkawal.
Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, ketika ini RM39.90 yang ditetapkan bagi harga kit ujian kendiri itu dianggap membebankan.
“Kita akan mengadakan perbincangan dengan pengeluar, pembekal dan peniaga termasuk agensi lain seperti Kementerian Kesihatan berhubung harga kit ini.
“Kita akui harga semasa membebankan pengguna dan kita akan berbincang, mencari kaedah menurunkan harga,” katanya yang ditemui selepas meninjau Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (Movak) di Sekolah Kebangsaan Bukit Bading, Ajil di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Perpaduan negara dan Integrasi Nasional negeri, Mohd Rosli Alias.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Hulu Terengganu itu berkata, bahagian penguatkuasaan KPDNHEP sudah diarah supaya melakukan pemeriksaan bagi mengelak wujudnya kit ujian kendiri tiruan.
“KPPDNHEP juga akan melakukan pemantauan penjualan kit ujian kendiri melalui dalam talian,” katanya yang memberitahu pemeriksaan bagi memastikan hanya kit tulen berada di pasaran.
Sumber: My Metro