Penduduk sempadan Sungai Golok turut dengar bunyi letupan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Sungai Golok

Pasir Mas: Penduduk di sekitar Kampung Kubang Pak Itam, di sini yang berdekatan Sungai Golok, mendakwa turut mendengar bunyi dentuman dan tembakan hari ini, susulan serangan yang berlaku dekat pos kawalan di Tak Bai, Narathiwat

Seorang penduduk dikenali Omar, 42, mendakwa, letupan yang berlaku turut menggegarkan kediamannya yang terletak beberapa meter dari Sungai Golok, sempadan Malaysia-Thailand.

“Saya sedang tidur, tiba-tiba terjaga kerana terkejut dengan bunyi itu. Letupan di sebelah Thailand memang biasa berlaku, tetapi dalam masa sama, saya khuatir kerana dapat merasakan kejadian terlalu dekat dengan rumah.

“Sekitar jam 4 pagi, kami dikejutkan lagi dengan bunyi helikopter yang menyuluh lampu di sepanjang sungai. Ia meresahkan kami sekeluarga yang masih tidak tahu apa sebenarnya berlaku.

“Tambahan pula, sejak kebelakangan ini ada sahaja individu yang tidak dikenali berkeliaran di sekitar rumah, tidak pasti siapa mereka,” katanya ketika ditemui, hari ini

Terdahulu, media melaporkan, anggota renjer maut dan empat lagi parah dalam satu serangan hendap oleh sekumpulan lelaki bersenjata di sebuah pos kawalan di Tak Bai, Narathiwat pada 2.20 pagi (waktu tempatan).

Komander Tentera Bahagian Ke-4 Leftenan Jeneral Kriangkrai Srirak dilapor berkata, sekumpulan lelaki bersenjata melontar sekurang-kurangnya 10 butir bom paip, dan melepaskan tembakan bertubi-tubi ke arah pos kawalan yang menempatkan lapan anggota renjer bertugas.

Sementara itu, penduduk, Mohd Jani Azmi, 41, yang tinggal di Kampung Jeram Perdah mengaku turut mendengar bunyi dentuman kuat pada awal pagi kelmarin.

“Apabila saya baca di media sosial, ada viral mengatakan berlaku letupan bom di kawasan sempadan yang jaraknya agak jauh juga dari kawasan saya.

“Benar juga apa (bunyi dentuman) yang dengar pagi tadi. Maksudnya ia letupan yang sangat kuat,” katanya.

Sumber: My Metro