OLIMPIK: Saingan pecut jadi pemanas badan acara keirin

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR: Jaguh basikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang mahu menjadikan saingan acara pecut individu lelaki sebagai aksi pemanas badan dengan fokus lebih terarah kepada acara keirin yang bermula, Sabtu ini.

Terdahulu, Azizulhasni, 33, yang diberi julukan The Pocket Rocketman berdepan laluan berliku sebelum mara ke pusingan ketiga acara pecut apabila perlu beraksi dalam saingan repechage, semalam.

Dia bagaimanapun mempamerkan kayuhan bertenaga untuk menyambar tiket ke pusingan ketiga apabila menewaskan pelumba Kanada, Nick Wammes.

Pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu, berkata dia sememangnya meramalkan persaingan yang sengit khususnya daripada pelumba Eropah yang memiliki sirkit pecut di sana berbanding Australia yang menjadi pangkalan latihannya.

“Ini adalah persembahan terbaik saya, walaupun catatan masa yang saya mahukan tidak sampai tetapi dengan pelumba lain tidak jauh beza hanya beberapa detik saja.

“Jason Kenny dapat baca ‘game’ saya, sebab itu saya kalah kepadanya. Sedikit sahaja beza dari segi teknik sahaja. Esok (hari ini) kita akan terus mencuba, kalau kalah ada repechage.

“Saya dah bincang dengan John (Beasly) bahawa kami akan jadikan kejohanan ini sebagai pemanas badan untuk acara keirin nanti,” katanya yang dipetik menerusi temubual dengan stesyen televisyen ASTRO Arena.

Sementara itu, seorang lagi pelumba negara, Muhamad Shah Firdaus Sahrom yang membuat penampilan pertama di pentas Olimpik terpaksa beraksi sebanyak dua kali dalam pusingan repechages sebelum mara ke pusingan ketiga.

Ini selepas dia terlanggar lawannya, Patryk Rajkowski sehingga menyebabkan pelumba Poland itu terjatuh.

Dalam perlumbaan semula, Shah Firdaus tidak berdepan masalah untuk mengetepikan Rajkowski untuk menempah slot ke pusingan ketiga yang dijadual berlangsung, esok.

Aksi pusingan ketiga, hari ini bakal menyaksikan Azizulhasni berdepan wakil Belanda, Jeffrey Hoogland, manakala Shah Firdaus pula bakal berdepan lawan dari negara sama, Harrie Lavreysen.

Mengulas mengenai aksi menentang Hoogland, Azizulhasni berkata, dia tetap optimis untuk aksi itu walaupun sedar bahawa cabaran yang bakal dihadapi bukan mudah.

“Kalau atas kertas memang susah. Dia saiz besar, jadi gear yang dipakai juga besar jadi saya kena fikirkan teknik yang sesuai dan sudah pasti saya akan beri 100 peratus,” katanya.

Sumber: Berita Harian