KUALA TERENGGANU – Kerajaan bersetuju individu yang telah menerima vaksin lengkap dibenarkan untuk mendirikan solat di masjid dan surau.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kemudahan ini terpakai ke atas semua fasa dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuatkuasa 10 Ogos ini.
Bagaimanapun katanya, pihak masjid dan surau perlu pastikan SOP berkaitan protokol kesihatan awam seperti pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal dan juga pastikan jemaah terus pulang setelah selesai solat.
“Jemaah yang hadir untuk menunaikan solat mesti menunjukkan kepada petugas masjid dan surau sijil digital vaksinasi COVID-19 (digital certificate COVID-19 vaccination) yang menunjukkan bahawa individu tersebut telah menerima vaksinasi lengkap,” ujarnya dalam perutusan khas, hari ini.
Katanya, kemudahan tersebut juga diberikan kepada penganut bukan Islam untuk menghadiri rumah-rumah ibadat.
“Pelaksanaan kemudahan ini adalah tertakluk kepada pihak berkuasa agama negeri dan Kementerian Perpaduan Negara bagi rumah ibadat selain Islam,” jelasnya.
Sumber: TRDI News