PGA9 rampas 110 Kambing Boer

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Pasir Mas: Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA9) merampas 110 Kambing Boer seludup bernilai RM165,000 di Kampung Pusu 40, Lubok Jong, di sini, kelmarin.

Pegawai Pemerintah Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA9), Superintendan Nor Azizan Yusof berkata, dalam kejadian 11 malam itu, anggota membuat rondaan sebelum memintas sebuah lori yang dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, sebelum itu, anggota mengekori lori terbabit sebelum ia disedari pemandu yang kemudian memberhentikan kenderaan terbabit di kawasan taman perumahan.

Lelaki itu kemudian bertindak melarikan diri ke hutan berdekatan dengan meninggalkan lori berkenaan.

“Usaha mencari pemandu lori dilakukan, namun dia gagal dikesan. Anggota kemudian membuat pemeriksaan pada lori dan menemui Kambing Boer ini yang dipercayai dibawa seludup dari Thailand.

“Kesemua kambing serta lori dirampas untuk dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas bagi tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 36 (1) Akta Binatang 1953.

“Rampasan ini juga akan diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kelantan untuk tindakan seterusnya,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Nor Azizan berkata, haiwan berkenaan disyaki diseludup untuk tujuan pasaran tempatan dan luar Kelantan bergantung kepada permintaan pelanggan.

“Penyeludup menggunakan laluan tikus atau pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok untuk membawa kambing ini ke tebing sungai sebelum dimuatkan di dalam lori yang akan bergerak pada tengah malam bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

“Biasanya kerja membawa kambing menyeberangi sungai dilakukan di kawasan terpencil dan sukar untuk dikesan. Ia membabitkan beberapa individu,” katanya.

Sumber: My Metro