Kota Bharu: Kerajaan Kelantan merayu permohonan pihaknya bagi tambahan bekalan vaksin Covid-19 diluluskan segera bagi memastikan rakyat negeri itu divaksinasi sebelum musim tengkujuh.
Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob berkata, pihaknya bimbang akan berlaku penularan wabak Covid-19 ketika tengkujuh, sekiranya sasaran 80 peratus penduduk terima vaksin tidak tercapai.
Katanya, ketika ini dijangkakan 40 peratus penduduk akan menerima suntikan menjelang akhir Ogos sekiranya bekalan vaksin diperoleh mengikut jadual.
“Bagi dos pertama, lebih 30 peratus rakyat Kelantan sudah menerima suntikan, manakala lebih 13 peratus penduduk lengkap kedua-dua dos.
“Sebelum ini, kerajaan negeri membuat permohonan untuk mendapatkan satu juta dos vaksin supaya kita boleh memberi lebih 30,000 suntikan sehari, sekali gus mengoptimumkan pengoperasian 27 pusat pemberian vaksin (PPV) yang ada.
“Selain itu, kita juga bersedia menjalankan pemberian vaksin secara ‘walk- in’ sekiranya bekalan yang diperoleh mengikut permintaan,” katanya yang ditemui selepas melancarkan Program Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Kelantan 2021 di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat dan Pengarah Jabatan Penerangan (JaPen) Kelantan, Azahar Ismail.
Dalam pada itu, sempena Hari Kemerdekaan Ke-64 negara, Ahmad meminta rakyat meraikannya dengan aktiviti yang mematuhi prosedur operasi standard (SOP) mencegah Covid-19.
Katanya, program sambutan secara maya digalakkan bagi menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat ketika tempoh pandemik.
Sumber: My Metro