Pemilik kedai makan berdepan hukuman gantung

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kangar: Pemilik kedai makan berdepan hukuman gantung sampai mati di Mahkamah Majistret, di sini, atas dua pertuduhan mengedar ganja dan syabu awal bulan ini.

Tertuduh, Azharadziz Zainol, 37, bagaimanapun tidak direkodkan sebarang pengakuan selepas pertuduhan dibacakan Majistret Kamaliza Md Zain.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa mengedar dadah berbahaya iaitu ganja seberat 163.79 kilogram (kg) di sebuah rumah di Kampung Bohor Gandil, Jalan Raja Syed Alwi, Kangar pada 4 Ogos lalu jam 11.15 pagi.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa mengedar dadah berbahaya iaitu syabu seberat 3,139 gram (tiga kg) di rumah beralamat sama pada 5 Ogos lalu jam 1.45 tengah hari.

Sehubungan itu, tertuduh didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 39B (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta yang sama.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup serta 15 sebatan jika tidak dihukum dengan hukuman mati.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Jodia Por Yi Tying manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan 15 Oktober hadapan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi menunggu laporan kimia.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, enam lagi suspek yang ditahan berkaitan kes pengedaran dadah berkenaan sudah dibebaskan sebelum ditahan semula untuk siasatan mengikut Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1985.

Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad mengesahkan penahanan suspek berkenaan.

Minggu lalu, tujuh lelaki berusia 30 hingga 51 tahun ditahan di Perlis dan Selangor selepas didapati terbabit dengan sindiket pengedaran dadah jenis ganja dan syabu.

Dalam operasi itu, polis turut merampas dadah jenis ganja dan syabu bernilai RM603,920.

Sumber: My Metro