KEBENARAN SOLAT BERJEMAAH DI MASJID TIDAK HANYA KEPADA PENERIMA DUA DOS VAKSIN SAHAJA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

TEMERLOH : Semua masjid di Negeri Pahang dibenarkan untuk solat jemaah dengan kapasiti yang ditetapkan oleh Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) tidak hanya tertakluk kepada mereka yang lengkap menerima dua dos vaksin sahaja.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, tiada sekatan kepada mana-mana individu yang belum lengkap menerima vaksin untuk hadir solat berjemaah, akan tetapi keutamaan akan diberikan kepada mereka yang telah lengkap dua dos vaksin.

“Pahang mengambil pendekatan toleransi kerana melihat kepada beberapa kekangan yang masih dihadapi oleh mereka yang mungkin belum mendapat panggilan temujanji vaksin walaupun sudah mendaftar untuk menerimanya.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad pada Majlis Penyampaian Penyerahan Peruntukan Khas YAB Menteri Besar Pahang dan Bantuan Prihatin Pahang 2021 di Dewan Terbuka, Dewan Seri Ketumbit, Kerdau.

“Buat masa ini Kerajaan Negeri masih membenarkan mereka yang belum divaksin untuk menunaikan solat jemaah di masjid tetapi sekiranya sampai satu tempoh di mana semua masyarakat telah divaksin dan masih terdapat individu yang degil untuk tidak menerima vaksin maka kemungkinan beberapa ketetapan akan diambil,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) selepas penyampaian Penyerahan Peruntukan Khas YAB Menteri Besar Pahang dan Bantuan Prihatin Pahang 2021 di Dewan Terbuka, Dewan Seri Ketumbit, Kerdau, di sini.

Beliau berkata, Pahang sebelum ini telah mendapat kebenaran daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jabatan Kesihatan Negeri untuk melaksanakan solat berjemaah di masjid tetapi dengan kapasiti tertentu sebelum pengumuman oleh YAB Perdana Menteri tempoh hari.

Justeru, pihak pengurusan masjid dan surau di Pahang boleh membuat permohonan untuk menambah jumlah jemaah kepada bahagian teknikal JAIP untuk dipertimbangkan dan mereka juga perlu membukitkan bahawa mempunyai kemampuan untuk menampung kapasiti dengan pematuhan SOP yang ditetapkan.

Sumber: PAHANGMEDIA