Pasar tutup gara-gara lelaki gelang merah jambu

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Tumpat: Gara-gara seorang lelaki ‘terlepas’ dari kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), Pasar Besar Wakaf Bharu ditutup kelmarin.

Lelaki berusia 42 tahun yang memakai gelang merah jambu itu dikesan membeli-belah di pasar terbabit pagi semalam oleh orang awam sebelum dimaklumkan kepada pihak berkuasa.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tumpat, Deputi Superintendan Mohd Razi Rosli berkata, susulan itu pasar berkenaan ditutup pada hari ini untuk proses sanitasi.

“Lelaki yang datang dari lokaliti PKPD Kampung Belian itu dikesan pada jam 10.20 pagi semalam dan datang ke pasar besar Wakaf Bharu dengan memakai gelang merah jambu.

“Dikatakan lelaki terbabit keluar daripada kawasan kawat duri sebelum menunggang motosikal dan datang ke pasar untuk membeli sayur.

“Difahamkan juga pada ujian calitan pertama, keputusan yang diterima lelaki itu adalah negatif namun untuk ujian kedua yang dijalankan semalam, belum diketahui,” katanya ketika ditemui di pasar di sini.

ANGGOTA Majlis Daerah Tumpat meletakkan notis penutupan Pasar Besar Wakaf Bharu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
ANGGOTA Majlis Daerah Tumpat meletakkan notis penutupan Pasar Besar Wakaf Bharu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Proses sanitasi dilakukan oleh pengurusan Pasar Besar Wakaf Bharu yang turut dipantau oleh Ketua Balai Polis Wakaf Bharu, Sarjan Mejar Abd Halim Shafai itu bermula jam 9 pagi tadi merangkumi semua seksyen.

Mohd Razi berkata, lelaki itu dikompaun RM5,000 mengikut Peraturan 6 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

“Kita nasihatkan mereka yang berada dalam mana-mana kawasan yang dikenakan PKPD kekal berada dalam lokaliti itu dan jangan cuba keluar bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, dakwaan mengatakan kira-kira 50 keluarga hilang dari PKPD Taman Sri Bayu di sini ketika pelaksanaannya bermula kelmarin, beliau berkata, pihaknya akan menyemak semula bilangan yang tepat selepas tamat PKPD.

Katanya, jika benar sekalipun dakwaan itu, ia berlaku sebelum dikenakan PKPD dan bukannya ketika pelaksanaan.

“Kita belum dapat pastikan lagi mengenai dakwaan kehilangan penghuni itu sehingga PKPD di sana tamat yang mana kami akan menyemak semula bilangan mereka.

“Sebahagian besar penghuni taman ini dihuni penjawat awam sama ada dalam atau luar Tumpat dan kebanyakannya menyewa menyebabkan jumlah sebenarnya berubah dari semasa ke semasa,” katanya.

Sumber: My Metro