‘Jangan buang kit ujian kendiri COVID-19 merata-rata’

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

JOHOR BAHRU: Pelupusan kit ujian kendiri COVID-19 yang dilakukan secara tidak berhemah dan dibuang merata-rata dibimbangi akan meningkatkan risiko jangkitan wabak itu.

Lebih berbahaya, ia bukan saja merisikokan pekerja yang menjalankan kerja perkhidmatan pengurusan sisa pepejal, malah juga orang ramai.

Syarikat konsesi sisa pepejal dan pembersihan awam, SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment) meminta kerjasama orang ramai supaya melupuskan kit ujian kendiri COVID-19 yang sudah digunakan di rumah secara berhemah.

“Orang ramai diminta melupuskan kit ujian kendiri itu secara selamat dan teratur bagi mengelakkan risiko penularan jangkitan COVID-19 dengan menyembur cecair nyah kuman ke peralatan itu yang sudah digunakan.

“Seterusnya dimasukkan dalam bungkusan dan dibuang ke dalam tong sampah beroda. Ia termasuk juga pelitup muka yang sudah digunakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum ini mengesahkan sebanyak 11 kit ujian kendiri COVID-19 mendapat kelulusan bersyarat dengan tujuh daripadanya menggunakan sampel air liur, manakala baki selebihnya calitan hidung.

Kit ujian yang mendapat kelulusan bersyarat menerusi Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) KKM itu boleh diperoleh di fasiliti awam dan swasta.

Sementara itu, SWM Environment berkata melalui Kempen Jom Kerja Selamat, syarikat berkenaan akan terus memberi kesedaran kepada pekerjanya mengenai pengendalian sisa berkaitan COVID-19.

“Ia termasuk tatacara pengendalian selamat membabitkan sisa kit ujian kendiri COVID-19 dan sisa pelitup muka yang dibuang ke dalam tong beroda.

“Di samping itu, syarikat turut memastikan pekerja sentiasa dilengkapi kelengkapan perlindungan diri (PPE) ketika bertugas dan membersihkan diri dengan melakukan proses nyah jangkitan kenderaan selepas selesai tugasan di lapangan,” katanya.

Sumber: Berita Harian