MBK tawar permit jualan harian kepada peniaga

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN : Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) menawarkan permit jualan secara harian kepada penjaja bagi mengurangkan bebanan yang ditanggung para peniaga.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), YH. Dato’ Hamdan Hussin berkata lesen yang dikenali sebagai On The Spot (OTS) ini dimulakan pada bulan Oktober tahun lepas.

“Kita menawarkan permit OTS ini khas bagi memudahkan para peniaga yang terkesan dengan pandemik COVID-19 yang melanda ini.

“Permit OTS yang bernilai RM10 sehari ini dikeluarkan oleh penguatkuasa MBK yang menjalankan penguatkuasaan di gerai-gerai yang beroperasi.

“Jadi ini memudahkan para peniaga dimana mereka tidak perlu hadir ke MBK untuk memohon permit perniagaan ini,” katanya kepada Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) hari ini.

Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), YH. Dato’ Hamdan Hussin.

Beliau berkata, MBK menggunakan pendekatan berkonsepkan empati kepada para peniaga dengan tidak mengeluarkan kompaun kepada mereka yang tidak memiliki lesen perniagaan.

“Kita tidak mengeluarkan kompaun kepada para peniaga kerana itu merupakan pendekatan terakhir kita, sebaliknya kita menawarkan permit dan juga nasihat kepada mereka.

“Kompaun hanya akan dikeluarkan sekiranya kita telah menggunakan pendekatan berhemah, seperti nasihat namun tidak diendahkan, barulah kompaun dikeluarkan,” katanya.

Menurut beliau lagi setakat ini sebanyak 1,425 permit perniagaan OTS telah dikeluarkan pihaknya bermula Oktober tahun lepas sehingga Ahad lepas.

Beliau berkata pihaknya juga akan memastikan para peniaga mematuhi syarat yang ditetapkan sebelum permit tersebut dikeluarkan.

“Kita akan pastikan gerai tersebut bukan berada di laluan utama atau simpang jalan yang membahayakan orang ramai dan peniaga selain para peniaga perlu membawa pulang peralatan jualan mereka dan memastikan kebersihan kawasan jualan,” katanya.

Selain itu, beliau berkata pihaknya juga melakukan pembaharuan bagi permit pernigaaan pasar malam di mana hanya lapan gerai sahaja dibenarkan beroperasi dalam satu-satu masa.

“Kita telah meluluskan 15 lokasi tapak pasar malam di mana mereka perlu melakukan penggiliran sesama mereka bagi memastikan semua peniaga mendapat giliran dalam masa yang sama masih mematuhi prosedur operasi standard,” katanya.

Sumber: PAHANGMEDIA