Bawa Malaysia keluar dari kemelut kesihatan, ekonomi, politik

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuala Lumpur: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu menumpukan tiga misi dalam memacu Malaysia untuk keluar daripada kemelut kesihatan, ekonomi dan politik sebaik dilantik sebagai Perdana Menteri ke-9 hari ini.

Ismail Sabri bukan nama asing dalam arena politik tanah air malah dianggap bekas Timbalan Perdana Menteri paling cepat dilantik sebagai Perdana Menteri dalam sejarah.

Penganalisis politik dan perundangan, Datuk Prof Dr Abdul Halim Sidek berkata, Ismail Sabri mempunyai tugas besar kerana dilantik sebagai menerajui negara ketika Malaysia masih bergelut dengan krisis kesihatan, ekonomi malah ketidakstabilan politik.

Menurutnya, Ismail Sabri kini perlu memiliki pasukan Kabinet yang mempunyai integriti, tiada liabiliti dan profesionalisme tinggi dalam memastikan polisi dan agenda kerajaan dilaksanakan dengan cemerlang.

“Kabinet yang akan ditubuhkan nanti perlu terdiri daripada menteri yang mempunyai kebolehan dari segi pengalaman dan latar belakang pendidikan berkaitan dengan kementerian diterajui.

“Jangan tubuhkan terlalu banyak kementerian dan menteri yang ramai kerana ia akan memperlihatkan kerajaan tidak efisyen dan berlaku pembaziran duit rakyat serta tidak sensitif dengan penderitaan rakyat yang masih terjejas dari segi pendapatan.

“Ini sudah berlaku dalam pentadbiran terdahulu apabila banyak kementerian diwujudkan dengan menteri dan timbalan menteri yang ramai sedangkan ada fungsi kementerian yang boleh disatukan supaya lebih efisyen.

“Lebih baik peruntukan jutaan ringgit sebulan untuk membayar gaji terlalu ramai menteri itu digunakan untuk menambah baik fasiliti kesihatan yang masih perlu ditingkatkan untuk menangani Covid-19,” katanya kepada Harian Metro.

Katanya, Ismail Sabri perlu tegas untuk memastikan Malaysia tidak terlalu dibuai dengan drama politik sehingga usaha keluar dari pandemik dan kelembapan ekonomi diatasi.

Dari segi kesihatan, beliau berkata, menteri daripada kementerian strategik seperti Kementerian Kesihatan Malaysia serta Kementerian Sains dan Inovasi perlu dikekalkan untuk meneruskan kesinambungan kecemerlangan dan polisi dalam menangani Covid-19 dan meningkatkan kapasiti imunisasi kebangsaan.

“Datuk Seri Dr Adham Baba mungkin perlu membaiki skil komunikasi supaya tidak terperangkap dengan kenyataan yang dibuat sehingga menjadi sasaran tohmahan masyarakat.

“Khairy Jamaluddin juga antara menteri yang ‘perform’ dan Program Imunisasi Kebangsaan (PICK) terbukti berjaya mencapai sasaran dan Malaysia berada di landasan yang betul untuk mencapai imuniti kelompok,” katanya.

Tambahnya, Ismail Sabri juga perlu memastikan Malaysia mampu keluar dari kemelut ekonomi secepat mungkin dan dalam masa sama perlu mengawal tahap penularan daripada terus kritikal.

Katanya, Menteri Kewangan serta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri perlu seseorang yang berpengalaman luas dan mempunyai pendidikan bidang ekonomi untuk membawa Malaysia menjadi kuasa besar ekonomi serantau.

“Jangan memilih seseorang hanya bersandarkan jawatan dalam parti yang menyokongnya tanpa mengambil kira keupayaan seseorang itu.

“Ini dua jawatan stratergik yang memerlukan seseorang yang mampu membawa ekonomi Malaysia kembali pulih pasca Covid-19,” katanya.

Sumber: My Metro