Pelawak tidak didakwa di mahkamah kes pemerdagangan manusia

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA PILAH: Polis daerah ini mengesahkan seorang pelawak yang sebelum ini ditahan kerana disyaki terbabit dengan kes pemerdagangan manusia pada awal bulan ini, tidak didakwa di Mahkamah Majistret di sini, esok.

Ketua Polis daerah, Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Amran Mohd Ghani, berkata sebaliknya dua individu lain masing-masing seorang lelaki dan wanita yang akan didakwa di mahkamah itu, dipercayai terbabit dalam kes pemerdagangan manusia yang dibongkar polis daerah ini pada 1 Ogos lalu.

“Seorang pelawak yang sebelum ini dikatakan terbabit dalam kes berkenaan, tidak dihadapkan ke mahkamah.

“Penahanan pelawak terbabit sebelum ini hanya bagi membantu siasatan kes berkenaan dan dia tidak akan didakwa di mahkamah esok,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.D

Sebelum ini, media melaporkan seorang pelawak berusia 40-an ditahan bagi membantu siasatan kegiatan pemerdagangan manusia bagi tujuan eksploitasi seks di sebuah hotel di Kuala Pilah dalam serbuan Op Pintas.

Dalam operasi berkenaan, polis turut menyelamatkan seorang wanita berketurunan Melanau di sebuah bilik hotel di daerah berkenaan dan kini wanita berkenaan mendapat perintah perlindungan sementara serta ditempatkan di sebuah rumah perlindungan di Johor.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 15 tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Pelawak berkenaan bagaimanapun dikenakan kompaun atas kesalahan rentas negeri tanpa kebenaran mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021.

Sumber: Berita Harian