Pastikan bekalan darah mencukupi

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Johor Bahru: “Saya tidak pernah terfikir untuk berhenti kerja walaupun menghadapi pelbagai cabaran sebagai seorang wanita sepanjang pandemik kerana sedar tanggungjawab menjadi petugas barisan hadapan demi masyarakat dan negara,” kata Nazatulshima Mohammad Said, 34.

Ibu kepada empat cahaya mata berusia tiga hingga 10 tahun itu berkata, cabaran utama dialami adalah terpaksa berkorban masa berkualiti bersama ahli keluarga.

Menurutnya, sebagai juruteknologi makmal perubatan di Jabatan Perubatan Transfusi Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan berpengalaman kerja selama 12 tahun, dia menyahut cabaran menggalas beban tugasan lebih tinggi setahun lalu.

“Mungkin ada yang anggap tugasan saya mudah kerana hanya perlu menguji sampel darah.

“Namun, saya juga menggalas tugasan lain termasuk memastikan bekalan darah mencukupi ketika berlaku kecemasan selain turut turun padang ketika kempen derma darah.

“Sepanjang pandemik keperluan bagi menguji sampel darah meningkat berkali ganda dan setiap kali memulakan tugasan, perlu fokus 100 peratus terhadap kerja.

“Pada masa sama sekiranya ada permintaan bekalan darah bagi pesakit Covid-19 atau mangsa kemalangan, kami perlu bertindak pantas demi menyelamatkan nyawa mangsa,” katanya yang tinggal di kuarters HSA.

Nazatulshima berkata, berikutan sibuk dengan tugasan dia juga terpaksa bergantung kepada bantuan teman hidupnya, Mohd Fairuz Ezry Nurdin, 37, mengurus anak.

“Saya tetap berusaha melakukan terbaik sebagai isteri dan ibu termasuk meluangkan sekurang-kurangnya empat jam bersama keluarga sekiranya bekerja lebihan masa.

“Itu antara dilema bekerja dan susulan pelaksanaan sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR), saya juga pastikan dapat membantu anak menyiapkan kerja rumah.

“Dengan letih balik kerja, saya perlu ajar anak dan menyiapkan tanggungjawab di rumah seperti memasak dan mengemas.

“Namun, saya tidak pernah terfikir berhenti kerja kerana saya sedar tanggungjawab saya bagi menyelamatkan nyawa insan serta bersama-sama mengelak penularan Covid-19,” katanya.

Nazatulshima berkata, dia bersyukur kerana ahli keluarga terutama suaminya memahami tugasannya setiap masa.

“Berkat bekerja dengan dedikasi saya terpilih sebagai antara pemenang Kempen 30 Hari 30 Frontliners dan pada awalnya suami memberi dorongan bagi menyertainya,” katanya.

Sumber: My Metro