SIDANG DEWAN NEGERI: PERUNTUKAN NEGERI DAN PERSEKUTUAN BANTU KIBAR SYIAR ISLAM DI PAHANG

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN : Sebanyak RM119.64 juta diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus dan RM9.62 juta bagi perbelanjaan pembangunan untuk Jabatan Agama Islam Pahang pada tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, selain peruntukan Kerajaan Negeri, Kerajaan Persekutuan turut menyalurkan peruntukan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebanyak RM31.33 juta bagi bayaran elaun 2,628 orang guru KAFA, 3,795 orang Pegawai Kariah Masjid dan 401 orang Guru Takmir sehingga bulan September.

“Pihak JAKIM turut menyalurkan peruntukan pembangunan sebanyak RM594,000 untuk Fasa 1 bagi kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan 11 buah Sekolah Menengah Agama Negeri selain peruntukan sebanyak RM4.5 juta diluluskan buat JAIP oleh ECERDC bagi projek bina baru Asrama Perempuan Sekolah Menengah Agama Maran.

“Kerajaan Negeri melalui Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) telah melaksanakan beberapa inisiatif YAB Menteri Besar Pahang melibatkan keseluruhan peruntukan berjumlah RM5.04 juta sepanjang tahun ini,” katanya.

Tabung Pengurusan Kematian COVID-19 Negeri Pahang.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Sidang Dewan Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang, di sini kelmarin.

Sementara itu, beliau berkata Kerajaan Negeri melalui JAIP juga telah meluluskan Bantuan Prihatin Pahang (BPP) COVID-19 kepada golongan yang terjejas akibat wabak tersebut seperti berikut.

“Seramai 1,382 orang penerima dari kalangan imam, bilal dan siak rawatib, guru KAFA dan guru tahfiz, madrasah dan pondok berdaftar dari seluruh negeri Pahang dengan jumlah peruntukan keseluruhan RM276,400.

“Bayaran Khas One-Off RM100 kepada pengusaha kantin dan pengusaha dewan makan asrama SMAN dengan jumlah penerima seramai 233 orang dan jumlah peruntukan RM23,300.

“Bayaran Khas One-Off RM500 kepada Penggerak Masyarakat Orang Asli (PMOA) dan Penyelaras Pembangunan Insaniah Masyarakat Orang Asli (PePIMA ) seramai 127 orang penerima dengan jumlah peruntukan sebanyak RM63,500,” katanya.

Menjawab soalan tambahan berkenaan kos pengurusan jenazah COVID-19 yang dibangkitkan ADN Bilut, beliau berkata Kerajaan Negeri telah mewujudkan Tabung Bantuan Khas Pengurusan Kematian COVID-19 yang telah dimulakan pada 12 Ogos 2021 sebagai lambang keprihatinan Kerajaan Negeri dalam membantu keluarga mangsa yang dijangkiti wabak Covid-19.

“Melalui inisiatif tersebut, pengendali jenazah orang Islam khususnya boleh mengemukakan tuntutan bayaran melalui 13 buah Masjid Daerah yang telah ditetapkan oleh pihak JAIP,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan Kerajaan Negeri melalui JAIP telah melaksanakan aktiviti dakwah di setiap daerah Pejabat Agama Islam Negeri Pahang secara tersusun dan berkala pada setiap tahun.

“Sekurang-kurangnya tiga buah perkampungan Orang Asli di setiap 14 buah daerah Pejabat Agama Islam akan dipilih untuk aktiviti dakwah setiap tahun melibatkan program-program kelas fardhu ain, bimbingan agama dan dakwah interpersonal dilaksanakan dua kali seminggu oleh 59 orang Penggerak Masyarakat Orang Asli (PMOA) Negeri Pahang secara berterusan di perkampungan Asli seliaan PMOA.

“Kerajaan Negeri turut mengambil maklum akan cadangan-cadangan yang dikemukakan dan akan membantu serta menyokong segala gerak kerja yang melibatkan pembangunan sosial orang Asli di Negeri Pahang sama ada melibatkan agensi-agensi kerajaan mahu pun Badan Bukan Kerajaan (NGO).

Katanya lagi, Kerajaan Negeri melalui Unit Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang juga sedang melaksanakan program Memperkasakan Saudara Baru Orang Asli yang melibatkan kerjasama pihak Program Pembangunan Tamadun Masyarakat Asli (PETAMA) serta program-program kolaborasi bersama IPT yang menekankan aspek keagamaan dan pembangunan minda.

Sumber: PAHANGMEDIA