Imej lorong Wong Ah Jang akan dipulihkan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuantan: Imej lorong Wong Ah Jang, di sini yang sebelum ini dilabelkan sebagai lokasi aktiviti tidak bermoral akan dipulihkan secara berperingkat dengan kerjasama pelbagai pihak.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri serius untuk memulihkan komuniti di kawasan terbabit supaya mereka tidak terus hanyut dengan aktiviti maksiat.

Katanya, sejak sekian lama lorong Wong Ah Jang begitu terkenal sebagai kawasan hitam yang menghimpunkan dengan pelbagai aktiviti negatif, dan komuniti di situ sentiasa menjadi perhatian pihak berkuasa di daerah ini.

Namun, katanya, dengan usaha beberapa agensi kerajaan termasuk Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) bersama badan bukan kerajaan (NGO), usaha memulihkan komuniti kini sedang giat dilakukan secara berperingkat.

“Kesungguhan serta perancangan yang betul pihak berkaitan akan memberi kejayaan diharapkan dalam memastikan komuniti lorong Wang Ah Jang dapat kembali ke pangkal jalan seterusnya dapat membina kehidupan baharu yang lebih bermakna.

“Saya percaya bukan mudah untuk memulihkan mereka, namun dengan kerjasama pelbagai pihak tidak mustahil misi berkenaan akan berjaya suatu hari nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat projek tanaman cili bara secara cili fertigasi yang diusahakan komuniti lima individu komuniti lorong Wong Ah Jang, di sini.

Projek berkenaan dilaksanakan awal Julai lalu membabitkan sebanyak 2,000 polibeg.

Wan Rosdy berkata, di kawasan berkenaan turut disediakan surau bagi kemudahan komuniti beribadah, selain belajar agama, malah pendidikan agama turut diberikan kepada kanak-kanak di situ.

Katanya, Yayasan Pahang membeli bangunan di kawasan terbabit dengan harga RM1.5 juta untuk dijadikan pusat aktiviti komuniti lorong Wang Ah Jang termasuk Jalan Pasar.

“Kita akan menjadikan pemulihan lorong Wang Ah Jang sebagai model untuk digunakan di tempat lain dalam usaha menghapuskan aktiviti tidak bermoral di negeri ini.

“Kerjasama semua pihak seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), MUIP, Yayasan Pahang, Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) dan NGO serta pihak swasta menjadi faktor utama kejayaan program pemulihan itu,” katanya.

Sumber: My Metro