Peniaga pasar malam perlu divaksin sebelum berniaga

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

BUKIT MERTAJAM: Hanya peniaga pasar malam yang mendapatkan sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19 sahaja dibenarkan berniaga semula bermula 15 September ini.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Datuk Rozali Mohamud, berkata pihaknya menetapkan syarat itu untuk memberi keyakinan kepada orang ramai yang mengunjungi pasar malam disamping mewujudkan persekitaran yang lebih sihat dan selamat.

Berikutan itu, katanya, mana-mana peniaga atau penjaja di Seberang Perai yang masih belum mendapatkan tarikh janji temu digesa segera mendaftar melalui aplikasi MySejahtera.

“Pada masa sama, mereka juga perlu menjawab soal selidik MBSP berkaitan status vaksinasi mereka di pautan yang disediakan.

“MBSP akan membantu mana-mana peniaga yang berkaitan untuk mendapatkan janji temu suntikan vaksin jika perlu.

“Panggilan untuk sesi janji temu vaksin akan dibuat melalui aplikasi MySejahtera atau dihubungi melalui telefon oleh pihak urus setia berkaitan dan mereka diminta untuk sentiasa menyemak rekod MySejahtera masing-masing,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, usaha yang dilaksanakan itu juga selaras dengan hasrat kerajaan negeri dan MBSP untuk mencapai imuniti kelompok menjelang Oktober ini.

Terdahulu, MBSP melalui kenyataan media baru-baru ini memaklumkan berkaitan kebenaran operasi pasar malam selaras dengan keputusan terkini yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Rozali berkata, kebenaran diberikan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) apabila hanya membenarkan pengunjung yang lengkap dua dos vaksinasi serta dalam kategori risiko rendah sahaja dibenarkan mengunjungi pasar malam berkaitan.

Dalam pada itu, Rozali berkata, MBSP dengan kerjasama kerajaan negeri melalui urusetia Bahagian Kerajaan Tempatan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Pulau Pinang akan menganjurkan Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) selama empat hari bermula Isnin hingga Khamis ini.

“Program ini akan memberi manfaat terhadap 6,000 peniaga dan penjaja yang berdaftar dengan MBSP.

“Lokasi MOVAK bagi kawasan Seberang Perai adalah di Dewan Dato’ Haji Ahmad Badawi bagi daerah Seberang Perai Utara, Kompleks Sukan Jalan Betek bagi daerah Seberang Perai Tengah dan Stadium Batu Kawan bagi daerah Seberang Perai Selatan,” katanya.

Sumber: Berita Harian