KERAJAAN NEGERI KOMITED KAWAL SELIA TAMAN NEGERI, BIODIVERSITI DI PAHANG

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN : Kerajaan Pahang sangat komited dalam mentadbir urus biodiversiti dan taman-taman negeri di seluruh Pahang dengan meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Perbadanan Taman Negeri Pahang 2021 dan RUU Majlis Biodiversiti Negeri Pahang pada Mesyuarat Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14, baru-baru ini.
 
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Shamsudin berkata, Kerajaan Negeri memerlukan satu kuasa bagi mengawal selia Taman Negeri dan Biodiversiti di Negeri Pahang bagi perlindungan alam semula jadi dalam mentadbir urus harta intelek negeri.
 
“Majlis Biodiversiti misalnya, tujuannya untuk perlindungan alam semula jadi, flora dan fauna yang akan menjadi penasihat kepada Kerajaan Pahang. Menerusinya akan ada penguatkuasaan, dasar-dasar ditetapkan bagi melindungi harta intelek negeri ini membabitkan aspek flora dan faunanya.
 
“Begitu juga membabitkan taman-taman negeri, Pahang mempunyai keluasan hutan yang luas iaitu 2.057 juta hektar atau, 57 peratus daripada keluasan tanah negeri Pahang.

“Ini menyukarkan untuk pihak Jabatan Perhutanan Negeri Pahang melaksanakan aspek penjagaan, jadi kita perlu serahkan kepada pihak swasta atau operator berkenaan yang mempunyai kepakaran dalam bidang tersebut,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi miliknya, hari ini.
 
RUU tersebut telah dibentangkan pada 25 Ogos lalu oleh YB. Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar pada Mesyuarat Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 dan telah mendapat sokongan daripada 33 Ahli Dewan Negeri.
 
Beliau berkata, dengan adanya Perbadanan Taman Negeri dan Majlis Biodiversiti ini, Kerajaan Negeri seolah-olah membuat lingkaran pagar supaya tiada lagi kebebasan untuk mana-mana pihak yang ketika ini ‘bebas’ memasuki kawasan hutan di negeri ini selain memelihara aset terpenting di Pahang.
 
Pahang juga merupakan negeri terawal mempunyai majlis berkenaan selepas Sabah dan Sarawak yang mana ia sekali gus memperlihatkan kesungguhan Kerajaan Negeri untuk melaksanakannya.

Sumber: PAHANGMEDIA