Kuantan: Jabatan Penjara Pahang memerlukan sumbangan bahan bacaan untuk banduan bagi memenuhi masa terluang mereka berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
Pengarah Penjara Negeri Pahang, Datuk Ab Basir Mohamad berkata, terdapat kira-kira 5,000 banduan terbabit dengan pelbagai kesalahan yang menghuni Penjara Bentong dan Penjara Penor, di sini.
Menurutnya, berikutan PKP 3.0, semua banduan tidak berpeluang mengikuti pelbagai latihan kemahiran termasuk kelas agama yang sebelum ini diwajibkan untuk mereka sebagai bekalan apabila bebas nanti.
Katanya, semua banduan kini menghabiskan masa di bilik tahanan hingga menyebabkan mereka merasa bosan dan tertekan tanpa melakukan apa-apa aktiviti.
“Sekiranya terdapat bahan bacaan seperti majalah, novel atau buku agama, masa terluang banduan boleh digunakan untuk mereka membaca, dengan cara itu banduan tidak terlalu bosan berada dalam bilik tahanan.
“Kaedah lain digunakan pihak penjara ialah menyediakan pembesar suara yang menyiarkan siaran radio termasuk ceramah agama dan beberapa program lain,” katanya, dihubungi di sini semalam.
Ab Basir berkata, sejak wabak Covid-19 melanda di negara, terdapat tiga kes kematian banduan berlaku di negeri ini membabitkan dua banduan di Penjara Bentong dan seorang di Penjara Penor.
Sumber: My Metro