Kuala Terengganu: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu mengesahkan berlaku kenaikan harga ayam sehingga RM10 sekilogram di pasaran negeri itu.
Pengarahnya, Saharuddin Mohd Kia berkata, ia berdasarkan pemeriksaan yang dilakukan pihaknya di 18 pasar basah, 24 pasar raya dan empat pasar raya besar (hypermarket) di seluruh negeri.
Katanya, difahamkan kenaikan harga itu disebabkan beberapa faktor yang tidak dapat dielakkan namun, siasatan lanjut masih dijalankan.
“Data menunjukkan harga runcit ayam di pasar dijual antara RM8 hingga RM10 sekilogram, di hypermarket pula antara RM6.90 dan RM8.49 dan pasar raya antara RM6.90 hingga RM8.89.
“Peniaga mendakwa punca kenaikan harga ayam disebabkan berlaku pengurangan bekalan di peringkat ladang,” katanya melalui kenyataan dikeluarkan.
Selain itu, Saharuddin berkata, ada juga peniaga mendakwa kenaikan harga makanan ayam mendorong kenaikan kos di peringkat pembekal dan peladang.
“Namun bagi mengesahkan dakwaan ini, pemeriksaan sedang dilaksana di peringkat rantaian pembekalan untuk mendapatkan maklumat harga serta kos serta menyiasat di bawah perundangan pencatutan.
“Tindakan tegas akan diambil jika didapati ada peniaga yang cuba mengambil kesempatan,” katanya.
Dalam pada itu, Saharuddin memberi jaminan bekalan ayam di Terengganu mencukupi untuk menampung keperluan pengguna meskipun berlaku kenaikan harga.
Pihaknya turut meminta kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat kepada saluran aduan KPDNHEP sekiranya mengetahui ada salah laku berlaku.
Sumber: My Metro