Bantuan Rumah Rakyat Pahang Beri Keselesaan Hidup Kepada Ibu Tunggal

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN, 8 SEPTEMBER 2021: Bantuan Rumah Rakyat Pahang (RRP) yang diberikan percuma oleh Kerajaan Pahang memberikan keselesaaan buat seorang ibu tunggal bersama keluarganya yang sebelum ini terpaksa tinggal di rumah usang hampir 20 tahun.

Puan Rosnani Idris, 50, berkata, rumah lama yang dia diami bersama keluarga sebelum ini sering dimasuki air ketika hujan ditambah pula dengan lantai rumah yang sudah uzur dan reput.

Puan Rosnani Idris, 50, bersama anaknya di hadapan lamanya yang didiami lebih 20 tahun yang sudah uzur.

“Apabila dapat RRP ini, rasa sangat berterima kasih kepada YAB Menteri Besar Pahang dan Kerajaan Pahang, memang tak pernah pun termimpi untuk mendapat rumah seperti ini,” katanya ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) di rumahnya di Cherating di sini hari ini.

Puan Rosnani yang bekerja di sebuah kilang papan di Cherating di sini mengakui Rumah Rakyat Pahang yang diterimanya ini memberikan keselesaan kepadanya dan enam orang anaknya.

Beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada mereka yang terlibat membantu membina rumah beliau termasuk YAB Menteri Besar Pahang yang memberikan rumah ini kepadanya.

Beliau berkata, Rumah Rakyat Pahang yang diterimanya ini jauh lebih selesa dengan ada kelengkapan seperti kipas dan tiada lagi masalah bocor pada waktu hujan.

Sementara itu, anak sulungnya, Mohd Arif Riduan, 28, berkata, beliau gembira apabila mengetahui ibunya menerima bantuan Rumah Rakyat Pahang ini.

Beliau amat bersetuju bantuan Rumah Rakyat Pahang ini diteruskan kerana ia banyak membantu golongan yang memerlukan seperti mereka.

Sumber: PAHANGMEDIA