Lelaki direman enam hari bantu siasatan kes rogol anak tiri

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KOTA BHARU: Seorang penjawat awam direman enam hari bagi membantu siasatan kes rogol membabitkan anak tirinya yang dipercayai berlaku sejak tiga tahun lalu.

Lelaki berusia 38 tahun itu direman bermula hari ini sehingga Isnin depan untuk disiasat mengikut Seksyen 376B kanun keseksaan.

Perintah tahanan reman dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Kota Bharu, Rusli Ahmad.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud ketika dihubungi berkata, lelaki itu ditahan di rumahnya di Jalan Guchil Bayam pukul 5.30 petang pada Selasa.

Penahanan itu susulan laporan polis yang dibuat mangsa yang berusia 14 tahun yang mendakwa dirogol bapa tirinya sejak usianya 11 tahun dan kejadian terakhir pada pukul 8 pagi Selasa.

Mangsa menceritakan kejadian itu kepada ibu saudaranya sebelum dia tampil membuat laporan polis bersama ibu kandungnya.

Remaja berkenaan yang tinggal bersama ibu dan bapa tirinya sejak 2014 mendakwa kejadian berlaku ketika ibunya tiada di rumah apabila suspek masuk ke dalam bilik tidurnya.

Menurut mangsa, dia dirogol oleh bapa tirinya sejak berusia 11 tahun dan mangsa tidak menceritakan kejadian itu kepada sesiapa kerana takut dengan ugutan suspek.

Beliau berkata, mangsa kemudian dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab 2 (HRPZ 2) bagi rawatan dan pemeriksaan lanjut oleh pegawai perubatan yang mengesan terdapat kesan koyakan baharu dan lama pada kemaluan mangsa.

Kes disiasat mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak lebih 30 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Sumber: Astro Awani