Kelantan didenda RM30,000, rayuan NSFC ditolak

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR: Kelantan FC dikenakan denda RM30,000, namun keputusan perlawanan Liga Perdana membabitkan pasukan itu bertemu Negeri Sembilan (NSFC) pada 27 Ogos lalu kekal sekali gus menyaksikan tiga mata tetap dibawa pulang skuad The Red Warriors.

Itu ketetapan yang dibuat Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan perkembangan itu dimaklumkan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Stuart Ramalingam kepada BH Sukan dalam satu kenyataan, malam tadi.

Stuart mengesahkan badan pengendali liga itu menerima surat bantahan daripada NSFC bertarikh 30 Ogos lalu dengan mereka meminta MFL menggunakan Artikel 2.1.3, Peraturan Pertandingan, Manual Liga Malaysia (Liga M) 2021 untuk menilai kesalahan yang dilakukan Kelantan FC.

“MFL sudah menerima surat bantahan daripada NSFC yang memperuntukkan Artikel 2.1.3, Peraturan Pertandingan, Manual Liga M 2021 dalam kes membabitkan pasukan mereka menentang Kelantan FC.

“Dalam surat bantahan terbabit, NSFC turut melampirkan Artikel 2.1.1 dan Artikel 2.1.3, Peraturan Pertandingan, Manual Liga M 2021. Ahli Lembaga Pengarah MFL mengadakan mesyuarat bagi menyelesaikan masalah terbabit.

“Bagaimanapun, Ahli Lembaga MFL sudah membuat ketetapan bahawa keputusan perlawanan membabitkan NSFC dan Kelantan FC kekal. Perkara ini boleh dirujuk mengikut Artikel 5.3.2, Peraturan Pertandingan, Manual Liga M 2021,” katanya.

Terdahulu, skuad Jang sepatutnya meraih tiga mata percuma meskipun tewas 2-1 di tangan Kelantan FC memandangkan Kelantan FC melakukan kesilapan ketika pertukaran pemain.

Ini kerana pasukan The Red Warriors melakukan pertukaran lima pemain namun sebanyak empat kali pada minit ke-71, minit ke-82, minit ke-85 dan minit kedua masa tambahan.

Berdasarkan undang-undang pertukaran pemain yang diperkenalkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) tahun lalu, lima pemain boleh digantikan, namun ia hanya dibenarkan sebanyak tiga kali dalam satu perlawanan.

Ini bermakna Kelantan FC menurunkan pemain yang tidak layak beraksi namun sumber memaklumkan keputusan MFL yang tidak memberikan kemenangan percuma dan tiga mata kepada NSFC menimbulkan perasaan tidak puas hati dalam kem pasukan terbabit.

Ini kerana tiga mata itu membolehkan mereka memintas Sarawak United di persada liga.

Sumber: Berita Harian