RAKYAT KEUTAMAAN KERAJAAN PAHANG DALAM AGIHAN BANTUAN

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

LIPIS : Kerajaan Pahang menjadikan rakyat daripada pelbagai peringkat sebagai keutamaan bagi menyalurkan bantuan terutama sejak pandemik COVID-19 melanda bermula tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak berkata, ini menunjukkan keprihatinan Kerajaan Pahang yang sentiasa berterusan dan tidak pernah sama sekali meminggirkan rakyat ketika berada dalam keadaan getir menghadapi pandemik ketika ini.

“Ini adalah bukti jelas bahawasanya kerajaan negeri yang dipimpin oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, tidak pernah meminggirkan masyarakat di setiap peringkat daripada golongan muda hingga ke warga emas,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) selepas menyampaikan bantuan secara pandu lalu pada Program Penyampaian Peruntukan Khas YAB Menteri Besar Pahang dan Bantuan Prihatin Pahang (BPP) 2021 Daerah Lipis di Masjid Baru Benta, di Lipis, pagi tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak ketika menyampaikan bantuan secara pandu lalu pada Program Penyampaian Peruntukan Khas YAB Menteri Besar Pahang dan Bantuan Prihatin Pahang (BPP) 2021 Daerah Lipis di Masjid Baru Benta, di Lipis, pagi tadi.

Hadir sama ialah Pegawai Agama Islam Daerah Lipis, YBhg Ustaz Mohd Zainudin Zakaria dan warga Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Lipis.

Pada program tersebut, seramai 19 orang menerima Bantuan Khas Kewangan kepada Penggerak Masyarakat Orang Asli  (PMOA) dan Penyelaras Pembangunan Ihsaniah Masyarakat Orang Asli (PePIMA) Daerah Lipis manakala seramai 18 orang pula menerima bantuan prihatin kepada pekerja dan pengusaha kantin dan dewan makan asrama (Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) Daerah Lipis.

Seramai 11 pelajar turut menerima Insentif Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 (SMAN Daerah Lipis) dan 72 wakil masjid dan surau menerima Inisiatif Jubah kepada Pegawai Masjid dan Surau Daerah Lipis.

Kesemua bantuan yang diberikan berjumlah RM94,440 dan 632 helai jubah yang diberikan kepada imam masjid seluruh Daerah Lipis.

Dalam pada itu, YB Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi berkata, kerajaan sentiasa menyalurkan bantuan berterusan mengikut keperluan rakyat tanpa mengira fahaman politik bagi memastikabn setiap rakyat menerima bantuan yang telah diperuntukkan.

“Peruntukan untuk wakil-wakil rakyat daripada barisan pembangkang juga diberikan untuk membolehkan wakil rakyat di kawasan yang diwakili pihak pembangkang juga tidak terkecuali daripada mendapat bantuan selain daripada bantuan yang telah diberi oleh kerajaan negeri,” katanya.

Ini sekali gus menjelaskan bahawa kerajaan begitu komited membantu meringankan bebanan rakyat dalam menghadapi pandemik COVID-19 ketika ini.

Sumber: PAHANGMEDIA