Kota Bharu: Di sebalik wajahnya yang tenang, tidak ada siapa menyangka Sayaidatul Syafiqah Sarah Diana Ramli, 16, menderita penyakit buah pinggang tahap lima dan pelbagai penyakit lain yang memerlukannya untuk mengambil ubat sebanyak 17 biji sehari.
Menurut ibunya, Rohani Hassan, 51, anak ketujuh daripada sembilan beradik itu disahkan menghidap penyakit buah pinggang ketika berusia 12 tahun selain turut mempunyai masalah saraf, penyakit darah tinggi dan juga kerap diserang sawan.
“Saya tidak menduga anak saya menderita penyakit buah pinggang kronik kerana pada awalnya dia hanya demam biasa selama beberapa hari dan bimbang dengan keadaan itu membawanya mendapatkan rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).
“Anak saya ditempatkan di dalam wad lebih sebulan dan hasil pemeriksaan melalui ultrasound, doktor pakar mengesahkan kandungan urea dalam darahnya terlalu tinggi menyebabkan kedua-dua buah pinggangnya sudah mengecut.
“Saat dan ketika itu, seolah-olah degupan jantung saya terhenti dan hanya Allah SWT sahaja yang mengetahui perasaan saya sebagai seorang ibu apatah lagi anak diuji dengan penyakit ketika usianya masih muda,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kayu Rendang, Melor, di sini, hari ini.
Katanya, disebabkan penyakit yang dideritai itu, anaknya hanya sempat bersekolah hingga tingkatan dua dan terpaksa melupakan hasrat untuk meneruskan persekolahan kerana kerana perlu berulang alik hampir setiap bulan untuk rawatan serta berjumpa doktor pakar.
“Sejak lima tahun lalu, hampir segenap inci badan anak saya ditebuk untuk memasukkan tiub bagi menjalani rawatan Continuous Ambulatory Peritoneal Dialysis (CAPD) di rumah termasuk di leher, dada dan perut.
“Bagaimanapun, lebih menyedihkan lagi pada awal tahun ini, anak saya kehilangan kedua-dua penglihatan disebabkan penyakit buah pinggang yang dideritai selain tidak boleh berdiri terlalu lama,” katanya.
Rohani berkata, sebelum ini anaknya terpaksa menjalani rawatan CAPD empat kali sehari di rumah, namun sejak bulan lalu dia terpaksa berulang alik ke HRPZ II setiap tiga kali seminggu untuk menjalani rawatan mencuci darah atau hemodialisis.
“Rawatan perlu dilakukan di hospital disebabkan saluran di dalam perutnya sudah dijangkiti kuman
“Bagi memantau tahap kesihatan anak saya, setiap sebulan atau tiga bulan sekali anak saya perlu menghadiri temujanji di HRPZ II untuk berjumpa pakar pediatrik, saraf, mata, serta telinga, hidung dan tekak (ENT),” katanya.
Katanya, setiap bulan dia perlu membelanjakan RM700 untuk keperluan anaknya termasuk membeli lampin pakai buang dan juga kos alik ke hospital.
“Saya hanya bekerja sebagai tukang cuci di HRPZ II dengan pendapatan RM1,200 sebulan dan dalam masa sama perlu menanggung anak bongsu yang kembar dan masih bersekolah.
“Anak-anak yang lain ada juga membantu, namun saya tidak mahu menyusahkan kerana memahami mereka bukan dalam kalangan orang yang senang.
“Namun bersyukur kerana memperoleh bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM250 sebulan yang boleh digunakan untuk membeli barang keperluan Sayaidatul Syafiqah Sarah Diana,” katanya.Disiarkan pada: September 10, 2021 @ 8:29am
Sumber: My Metro