KUALA TERENGGANU – Usaha kerajaan Malaysia melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) bagi mencapai imuniti kelompok semakin membuahkan hasil menjelang tempoh sasaran pertengahan Oktober nanti.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, ini berdasarkan data semasa dan kadar purata vaksinasi harian sepanjang Ogos lalu ialah sebanyak 464,933 dos sehari.
“Melihat kepada pencapaian ini, Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) optimis usaha PICK sedang berjalan mengikut landasan dan perancangan ditetapkan untuk mencapai ‘herd immunity’ sebagaimana yang dinyatakan sebelum ini.
“Sudah tentu kadar vaksinasi ini akan berlaku pengurangan apabila kita telah mencapai 70 peratus populasi dewasa untuk dos kedua. Begitu juga Pusat Pemberian Vaksin (PPV) akan ditutup selaras keperluan untuk mengoptimumkan penggunaan sumber dan mengurangkan perbelanjaan kos untuk PICK ini,” ujarnya.
Beliau berkata demikian, ketika dihubungi pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) hari ini.
Sehubungan dengan itu katanya, jika tiada sebarang gangguan terhadap bekalan vaksin, proses vaksinasi di seluruh negara akan dapat diselesaikan menjelang bulan hadapan.
Mengenai perkembangan terkini katanya, setakat jam 10 pagi tadi, sebanyak 90.1 peratus daripada populasi dewasa menerima sekurang-kurangnya satu dos, manakala 7.3 peratus telah lengkap divaksinasi.
“Bagi keseluruhan populasi, sebanyak 64.6 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos bersamaan 21,082,152 orang dan 51.1 peratus pula telah lengkap menerima vaksin dengan jumlah seramai 16,680,780 orang,” ujarnya.
Justeru katanya, kerajaan bersedia mengumumkan beberapa kelonggaran berdasarkan data vaksinasi terkini.
“Begitu juga mengikut fasa dalam Pelan Pemulihan Negara. Sebagaimana arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, setiap kementerian perlu membuktikan pencapaian dalam tempoh 100 hari pertama. Insya-Allah bagi kementerian MOSTI, banyak agenda dan insiatif yang telah kita rencanakan.
“Antara tanggungjawab dan agenda utama yang dikendalikan adalah berkenaan pembangunan vaksin ini sendiri. Maka satu strategi nasional akan digerakkan bagi merangka dan melaksanakan pelan tindakan ini,” ujarnya lagi.
Sumber: TRDI News